Skip to main content

Dunia

Misi bulan NASA ditangguh selepas masalah roket dikesan

This image provided by NASA shows NASA's moon rocket sits on the pad at Kennedy Space Center in Florida on Thursday, Feb. 19, 2026. (NASA via AP)
Imej yang disediakan NASA menunjukkan roket bulan agensi itu berada di atas pelantar pelancaran di Kennedy Space Center, Florida. - Foto AP

FLORIDA: Pelancaran misi Artemis II NASA yang dijadualkan pada 6 Mac kini terpaksa ditangguhkan selepas jurutera mengesan beberapa isu teknikal pada roket ketika pemeriksaan rutin.

Pada Jumaat, NASA pada mulanya yakin misi bersejarah yang akan membawa manusia mengelilingi bulan buat pertama kali dalam 50 tahun itu boleh diteruskan dalam tempoh beberapa minggu.

Advertisement

Namun, pentadbir NASA, Jared Isaacman, mengumumkan bahawa masalah baharu memerlukan kerja penyelenggaraan tambahan.

Empat angkasawan sedang bersedia untuk penerbangan 10 hari mengelilingi bahagian jauh bulan, namun ujian yang dijalankan sehingga awal pagi Sabtu menunjukkan gangguan pada sistem aliran helium, komponen penting bagi menekan dan menyejukkan tangki bahan api roket.

Menurut NASA, sebarang gangguan helium dianggap isu kritikal dan boleh menjejaskan keseluruhan operasi pelancaran.

Masalah ini muncul selepas pasukan teknikal berjaya menyelesaikan isu lain berkaitan penapis dan kedap yang sebelum ini menyebabkan kebocoran hidrogen.

Dalam ujian pada Khamis, roket telah diisi dengan kira-kira 2.8 juta liter propelan, dan NASA menyifatkan simulasi itu sebagai “langkah besar” ke arah pelancaran sebenar.

Isaacman mengingatkan bahawa cabaran teknikal bukan perkara luar biasa dalam penerbangan angkasa, merujuk kepada misi Gemini 8 pimpinan Neil Armstrong pada 1966 yang terpaksa dihentikan awal sebelum beliau akhirnya menjejakkan kaki di bulan tiga tahun kemudian.

Angkasawan NASA Reid Wiseman, Victor Glover, Christina Koch, serta angkasawan Kanada Jeremy Hansen dijangka menyertai penerbangan menggunakan roket bulan generasi baharu itu.

Mereka dijadualkan mengkaji permukaan bulan dari jarak dekat selama beberapa jam.

Sekiranya Artemis II berjalan lancar, ia akan membuka jalan kepada pelaksanaan Artemis III, misi yang dijangka membawa manusia kembali menjejakkan kaki di permukaan bulan buat pertama kali sejak 1972.

NASA mensasarkan pendaratan itu berlaku menjelang 2028, walaupun mengakui jadual tersebut mungkin mencabar.

 

Must Watch Video