Mahkamah Filipina hari ini mendakwa Pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari atas pemberontakan yang dikatakan diketuainya bersama-sama ratusan pengikut bersenjata pergerakan itu di sebuah bandar di Selatan Filipina September lalu.

Pendakwaan yang dikeluarkan oleh mahkamah di bandar Zamboanga itu juga dikeluarkan bersama waran tangkap terhadap Misuari yang masih menyembunyikan diri.

Menurut Setiausaha Kehakiman Leila de Lima, turut didakwa tiga lagi komander Misuari yang dikaitkan dengan pengepungan bandar itu yang bermula pada 9 September.

Sekurang-kurangnya 244 orang terbunuh dalam tempoh tiga minggu sejak pertempuran dengan pihak tentera bermula.

Pihak kerajaan mendakwa Misuari mendalangi operasi tersebut walaupun dia tiada di bandar itu semasa kejadian.

"Saya yakin bahawa kita mempunyai bukti yang mencukupi dan kuat kali ini untuk mendakwa Nur Misuari ," kata De Lima.

Ratusan pejuang MNLF berada di Zamboanga selama tiga minggu , dengan menjadikan orang awam sebagai tebusan serta menentang pihak tentera dan polis dengan tujuan untuk mengganggu rundingan damai kerajaan dengan kumpulan Islam yang lain.

Pengikut MNLF akhirnya berjaya diusir keluar dan tebusan mereka dibebaskan. Walaubagaimanapun, lebih daripada 116,000 orang dipaksa meninggalkan rumah mereka sementara kira-kira 10,000 buah rumah telah dibakar dalam insiden itu

Keganasan ini merupakan yang paling buruk di negara tersebut sejak Presiden Benigno Aquino mengambil alih jawatan pada tahun 2010.