PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan inisiatif baharu pembaharuan lesen perniagaan sehingga maksimum tiga tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026 sebagai langkah memperkukuh ekosistem perniagaan bandar raya yang lebih mesra pelanggan, efisien dan progresif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pelaksanaan inisiatif itu bertujuan membantu komuniti perniagaan menghadapi cabaran ekonomi semasa di samping memberi kepastian lebih baik dalam aspek perancangan operasi, pengurusan kewangan dan pembiayaan perniagaan bagi tempoh jangka sederhana serta panjang.
Beliau berkata, pendekatan baharu itu juga selaras dengan usaha DBKL mempertingkat sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, fleksibel dan responsif kepada keperluan warga kota serta komuniti perniagaan.
“Ini merupakan salah satu inisiatif yang kita perkenalkan di Kuala Lumpur bagi memudahkan urusan perniagaan.
“Kita mempunyai lebih 95,000 pemegang lesen dan setiap tahun, khususnya pada Disember, ia memberi tekanan kepada pemegang lesen untuk memperbaharui lesen masing-masing. Ada yang terpaksa menggunakan khidmat ‘runner’ kerana bimbang tidak sempat memperbaharui lesen,” katanya pada sidang media di Menara DBKL, di sini, hari ini.
Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.
Menurut Hannah, menerusi pilihan yang diberikan, pemegang lesen masih boleh memilih pembaharuan tahunan, manakala mereka yang berkemampuan boleh memilih tempoh dua atau tiga tahun.
Katanya, pelesen yang tidak mempunyai kompaun tertunggak atau tunggakan sewa dengan DBKL turut layak menerima potongan fi lesen iaitu lima peratus bagi pembaharuan dua tahun dan 10 peratus bagi tempoh tiga tahun.
“Ramai peniaga memerlukan pinjaman daripada bank atau institusi kewangan. Jika lesen hanya setahun, sukar untuk bank menilai sama ada perniagaan itu akan terus beroperasi pada tahun berikutnya.
“Namun apabila mereka mempunyai lesen tiga tahun, struktur kemudahan pinjaman menjadi lebih lancar dan memudahkan mereka mendapatkan pembiayaan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu juga dapat mengurangkan kos operasi dan beban pembaharuan tahunan selain memudahkan urusan institusi kewangan dan penyewa premis komersial yang kebanyakannya mempunyai kontrak sewaan tiga tahun.
Antara kategori sektor perniagaan yang layak dipertimbangkan bagi pembaharuan lesen sehingga tiga tahun ialah premis pejabat, bengkel dan kejuruteraan, lain-lain perniagaan, penternakan dan pertanian, gudang atau stor penyimpanan, hotel, pembuatan atau pengilangan perindustrian, makanan dan minuman serta tred dan perniagaan.
Dalam pada itu, Hannah berkata pembaharuan lesen akan menggunakan sistem e-Lesen DBKL yang telah dinaik taraf dengan proses permohonan lebih mudah dan ringkas.
“Proses pembaharuan atau permohonan e-Lesen sangat ringkas dan hanya mengambil masa kira-kira tiga minit sahaja.
“Pemilik premis juga boleh mencetak lesen sendiri tanpa perlu hadir ke pejabat. Bayaran boleh dibuat secara dalam talian dan semakan hanya menggunakan kod bar,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini sistem e-Lesen DBKL merekodkan lebih 42,000 permohonan dan 92,263 lesen aktif dengan jumlah itu meningkat setiap hari.
Katanya, proses pembaharuan lesen juga hanya memerlukan 18 klik untuk diselesaikan sepenuhnya menerusi sistem berkenaan.
Bagi pemilik lesen yang kurang mahir menggunakan teknologi maklumat (IT), Hannah berkata mereka masih boleh hadir ke pejabat DBKL untuk mendapatkan bantuan serta menikmati insentif yang ditawarkan.