HYDERABAD: Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden China Xi Jinping sepakat bahawa “perbezaan tidak seharusnya menjadi pertikaian” ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di luar Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi pada Sabtu.
Kedua-dua pemimpin menyambut baik kemajuan berterusan dalam hubungan dua hala India-China sejak pertemuan terakhir mereka di Tianjin pada Ogos 2025, menurut Kementerian Luar India dalam satu kenyataan.
“Mereka menegaskan semula bahawa kedua-dua negara perlu melihat hubungan mereka dari perspektif strategik dan jangka panjang. Perbezaan tidak seharusnya menjadi pertikaian,” menurut kenyataan itu sambil menambah bahawa Modi menekankan hubungan India-China mesti berlandaskan “saling menghormati, saling peka dan kepentingan bersama.”
Xi kali terakhir melawat India pada Oktober 2019 bagi menghadiri sidang kemuncak tidak rasmi bersama Modi di Mamallapuram, berhampiran Chennai.
Bagaimanapun, hubungan kedua-dua negara menjadi tegang susulan pertempuran antara tentera India dan China pada 2020 di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.
Hubungan kedua-dua pihak sejak itu bertambah baik dengan ketara menerusi perbincangan melibatkan pemimpin kanan tentera dan politik, manakala perdagangan meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri India itu menekankan bahawa “keamanan dan ketenangan di kawasan sempadan kekal sebagai asas penting bagi pembangunan berterusan hubungan dua hala,” menurut kementerian itu.
“Beliau menekankan keperluan kedua-dua pihak untuk mematuhi perjanjian dan persefahaman sedia ada mengenai isu berkaitan sempadan. Kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen terhadap penyelesaian isu sempadan yang adil, munasabah dan boleh diterima bersama, berdasarkan perspektif politik hubungan dua hala secara keseluruhan serta kepentingan jangka panjang rakyat kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Perbincangan itu turut meliputi usaha meningkatkan pertukaran budaya dan hubungan perniagaan, manakala kedua-dua pihak bersetuju menangani kebimbangan masing-masing mengenai ketidakseimbangan perdagangan, isu rantaian bekalan dan akses pasaran.
India mencatatkan defisit perdagangan sebanyak AS$112.1 bilion dengan China daripada jumlah perdagangan dua hala sebanyak AS$151.1 bilion pada 2025-26, menurut data kerajaan.
China akan mengambil alih kepengerusian BRICS tahun depan dan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-19.
-- BERNAMA