BERLIN: Perkhidmatan bas dan kereta api perbandaran di sebahagian besar Jerman dijangka terhenti pada Jumaat, dengan gangguan terus berlaku di beberapa kawasan pada Sabtu, sebagai sebahagian daripada mogok seluruh negara yang menjejaskan pengangkutan awam tempatan.
Pekerja di hampir semua negeri di Jerman bersedia untuk menghentikan kerja susulan seruan oleh kesatuan pekerja berpengaruh Verdi pada Selasa.
Advertisement
Di kebanyakan bandar, perkhidmatan yang dikendalikan oleh syarikat pengangkutan perbandaran akan digantung sepanjang hari. Mogok itu dijadualkan bermula pada awal pagi Jumaat dan bergantung pada wilayah, ia boleh berlarutan hingga awal pagi Ahad.
Mogok itu ialah tindakan kedua pada peringkat kebangsaan dalam pusingan rundingan kolektif yang sedang berjalan.
Semasa mogok sebelum ini pada 2 Feb, pengangkutan awam tempatan di sebahagian besar Jerman hampir lumpuh sepenuhnya.
Dalam rundingan yang dijalankan di kesemua 16 negeri, Verdi menyasarkan penambahbaikan keadaan kerja. Ini termasuk pengurangan waktu kerja mingguan dan syif, tempoh rehat yang lebih lama, serta bonus yang lebih tinggi untuk kerja malam dan hujung minggu.
"Majikan nampaknya masih tidak faham bahawa dalam jangka masa panjang, perkhidmatan pengangkutan awam tidak akan berfungsi melainkan keadaan kerja dipertingkatkan secara signifikan sekarang," kata Timbalan Pengerusi Verdi Christine Behle dalam kenyataan.
"Rakan sekerja amat memerlukan bantuan dan majikan memerlukan isyarat jelas yang kami bertekad untuk memperjuangkan tuntutan kami."
-- BERNAMA-DPA