KUALA LUMPUR: Iran dan Israel malah Amerika Syarikat mempunyai hubungan di belakang tabir yang membolehkan ketiga-tiga negara mencapai objektif daripada perancangan dilakukan mereka.

Penyelidik Kanan IRIS Institute, Asyraf Farique berkata, di sebalik situasi berlaku sekarang, Iran tidak akan lakukan serangan besar yang boleh melumpuhkan Israel dan Israel juga tidak akan berbuat demikian terhadap Iran.

“Saya merujuk kepada satu buku ditulis Rita Baldi, seorang penasihat kepada Amerika Syarikat dari sudut hubungan antara Iran dan Amerika, dia mengatakan bahawa hubungan antara Iran, Amerika dan Israel mempunyai hubungan di belakang tabir.

“Hubungan itu adalah untuk memastikan bagaimana ketiga-tiga pihak ini dapat objektif hasil daripada perancangan dilakukan. Kita boleh lihat dalam beberapa keadaan.

“Begitu juga Israel akan melakukan perkara yang sama terhadap Iran kerana masing-masing mempunyai musuh sama dan masing-masing mempunyai manfaat bersama yang ingin dikongsi,” katanya kepada Astro AWANI, dalam satu temu bula dalam program Buletin AWANI Khas pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata A.S. berkemungkinan tidak akan melakukan sekatan terhadap Iran kerana bimbang harga minyak mentah naik mendadak jika berbuat demikian.

Keadaan itu, menurutnya, membuatkan negara tersebut kini dalam dilema.

Tambahnya, sekiranya sekatan dibuat, tidak mustahil harga minyak mentah boleh melonjak kepada 100 dolar Amerika untuk satu tong.

“Sekarang ini, kalau kita lihat potensi untuk kenaikan harga minyak mentah itu naik kepada AS$100 untuk setiap tong itu berbanding AS$81 lebih kurang, potensi itu memang ada.

“Sekiranya harga minyak meningkat naik dan Amerika Syarikat, kalau kita lihat statistiknya menunjukkan pengeluaran minyak mereka di beberapa buah negeri seperti di Texas mengalami penurunan.

“Ini dikhuatiri, sekiranya perang ini menjadi lebih besar, harga minyak mentah dunia akan naik dengan kadar mendadak. Jadinya Amerika tidak ada masa yang cukup untuk serap kesan itu dan memberikan kesan yang negatif terhadap ekonomi mereka,” ujarnya.

Peluru berpandu dipercayai milik Israel mengenai sebuah tapak di Iran, menurut laporan ABC News memetik seorang pegawai tertinggi Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita Iran FARS pula berkata, letupan kedengaran di lapangan terbang di bandar Isafahan di Iran tetapi puncanya masih belum dapat dipastikan.
-ENDS-