KUALA LUMPUR: Konflik yang berlaku antara Iran dan Israel ketika ini merupakan pertembungan pemimpin utama semata-mata.

Presiden Qaiwan International University Sulaimaniyah KRG-IRAQ, Dr. Ismail Abd Rahman menyifatkan rentetan serangan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara hanyalah untuk memuaskan peribadi masing-masing.

“Netanyahu berkata bahawa dalam masa 48 jam serangan balas akan dilancarkan keatas Iran. Ini ialah ego ketua negara yang akhirnya serangan dilancarkan ke atas Isfahan. Ini dekat dengan fasiliti nuklear Iran.

“Iran dan Israel bertembung dengan ego masing-masing. Negara-negara lain termasuk Amerika Syarikat telah gesa Israel untuk meredakan ketegangan kerana bimbang konflik lebih besar berlaku.

“Saya lihat apa yang berlaku ketika ini lebih kepada kepuasan peribadi pemimpin semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Pertembungan Iran-Israel lebih kepada persaingan ego pemimpin - Penganalisis

Tambah Ismail, senario keseluruhan konflik antara Iran dan Israel ketika ini lebih memberi kelebihan kepada Iran.

Ini kerana, beliau menyatakan Amerika Syarikat dan sekutunya telah berbelanja lebih banyak untuk menyalurkan bekalan dan menyelenggara kelengkapan ketenteraan Israel berbanding kos yang ditanggung Iran.

“Iran secara kasarnya telah berpuas hati kerana telah menghantar peluru berpandu kelas dua yang tidak laku. Manakala, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah membelanjakan AS$1.35 bilion, sedangkan Iran hanya berbelanja AS$30 juta sahaja,” ujarnya.


Agenda AWANI: Perang Israel-Iran | Apa Selepas Ini?