AARSAL: "Saya fikir mustahil untuk pulang ke kampung saya di al-Qusayr, Syria. Saya berharap dapat ke negara lain untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik terutama demi masa depan anak-anak.

"Rumah saya juga telah dimusnahkan, jadi tiada apa-apa lagi yang tinggal," demikian kata Nada Housiki, 30, yang merupakan antara ribuan pelarian Syria, kini berlindung di khemah kem al-Malaab, Aarsal, terletak di pergunungan utara Lubnan.

Nada ditemui wartawan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) di khemahnya sempena program menyantuni pelarian Syria bagi agihan daging korban sumbangan rakyat Malaysia yang disampaikan melalui petugas Aman Palestin (AP).

Penulis berpeluang ke khemah plastik milik Nada, bagi melihat sendiri keadaan kedaifannya dengan hanya mempunyai dapur dan satu ruang tamu sempit yang dapat memuatkan kira-kira tujuh orang dalam satu-satu masa.

Semasa kunjungan itu juga, dapat dilihat beliau hanya mempunyai simpanan dua kilogram beras, sebungkus roti dan beberapa kepingan biskut yang boleh bertahan beberapa hari untuk dimakan bersama empat orang anaknya.

Nada telah menghuni di kem tersebut sejak 2012 setelah terpaksa lari menyelamatkan nyawa ketika negaranya dilanda peperangan saudara yang telah mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan hilang tempat tinggal.

Nada berkata beliau berdepan kesengsaraan bagi membesarkan keempat-empat anaknya yang masih kecil berusia antara lapan hingga 13 tahun seorang diri setelah suaminya meninggal dunia akibat terkena letupan bom lapan tahun lepas.

"Sebagai pelarian, saya berdepan banyak kesukaran terutama duit yang tidak mencukupi, masalah sosial dan makanan. Ada ketikanya saya menangis apabila gagal menunaikan permintaan anak-anak apabila mereka kelaparan," katanya.

Ditanya bagaimana beliau berdepan dengan dugaan yang cukup luar biasa itu, Nada berkata: "Saya sentiasa bersabar, tidak boleh lemah semangat demi anak-anak saya, selain berdoa kepada Allah untuk diberi kekuatan melalui ujian ini," katanya yang bekerja dengan pendapatan yang tidak tetap hasil mengutip buah di ladang milik penduduk Lubnan.

Sementara itu seorang lagi pelarian, Wafa Ali, 52, turut berkongsi kesusahan tidak mempunyai pendapatan apabila beliau terpaksa membesarkan dua cucunya yang terpisah sejak enam tahun lepas semasa mereka dalam perjalanan melarikan dari Syria menuju ke Lubnan.

"Satu ketika kerajaan Syria memberi tawaran untuk rakyatnya kembali ke negara asal, anak saya telah pulang untuk cuba mencari saya dan anak-anaknya, namun gagal sehinggalah kerajaan Syria menutup kembali sempadan," katanya yang kini hanya dapat berhubung dengan anak melalui telefon.

Sementara itu, Ketua Misi Korban AP di Lubnan Mohd Salmi Mohamed berkata beliau telah dimaklumkan Union of Relief and Development Associations (URDA) yang bertindak sebagai penyelaras korban di Lubnan bahawa pada tahun ini, hanya AP badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia yang melakukan misi korban.

Mohd Salmi berkata setakat hari ketiga korban (12 Zulhijjah) di sini, sebanyak 58 ekor lembu telah dikorbankan dengan penerima manfaat dianggarkan seramai 14,700 orang dari kem pelarian Syria di utara dan kem pelarian Palestin di selatan Lubnan.

"Walaupun jumlah penyertaan ibadat korban rakyat Malaysia di Lubnan pada tahun ini berkurangan hampir separuh berbanding tahun lalu, namun misi bantuan agihan daging korban tetap dilakukan kerana ia amanah dan menunjukkan sokongan rakyat Malaysia sentiasa bersama Palestin dan Syria," katanya.

-- BERNAMA