ISTANBUL: Myanmar mengisytiharkan darurat di 60 perbandaran merangkumi sembilan negeri dan wilayah, sekali gus memberikan kuasa luas kepada pihak tentera dalam usaha membendung keganasan berterusan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Pejabat Presiden memaklumkan yang langkah darurat yang diumumkan pada Khamis itu bertujuan mengekang pemberontakan bersenjata, memulihkan kestabilan serta menguatkuasakan kedaulatan undang-undang, menurut laporan media tempatan Eleven Myanmar.
Advertisement
Di bawah perintah itu, kuasa pentadbiran dan kehakiman diserahkan kepada panglima tertinggi angkatan tentera.
Kepimpinan tentera kemudiannya mewakilkan kuasa itu kepada komander wilayah, yang diberi kawalan langsung ke atas operasi keselamatan di kawasan terjejas.
Pegawai berkata komander juga boleh mengagihkan tanggungjawab kepada pegawai bawahan bergantung kepada situasi di lapangan.
Langkah itu secara efektif meletakkan kawasan terlibat di bawah undang-undang tentera, sekali gus memperluas kuasa tentera ke atas pentadbiran dan proses perundangan.
Di bawah peruntukan itu, tribunal tentera boleh membicarakan orang awam, dengan hukuman termasuk penjara jangka panjang hingga hukuman mati bagi kes serius.
Awal minggu ini, Presiden Myanmar Min Aung Hlaing menetapkan tempoh 100 hari untuk rundingan damai dengan kumpulan bersenjata anti-kerajaan serta menjemput pihak yang menandatangani dan tidak menandatangani Perjanjian Gencatan Senjata Seluruh Negara (NCA) untuk menyertai rundingan.
Perjanjian itu ditandatangani bersama lapan kumpulan bersenjata pada Oktober 2015.
Tentera Myanmar merampas kuasa pada Februari 2021 selepas menggulingkan kerajaan dipilih yang diterajui Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD).
Min dilantik sebagai presiden oleh parlimen yang disokong tentera awal bulan ini.
-- BERNAMA-ANADOLU