Skip to main content

Dunia

Netanyahu dedah pernah dirawat kanser prostat

Israel's Prime Minister Benjamin Netanyahu attends a ceremony commemorating Israel's Remembrance Day for fallen soldiers, or Yom HaZikaron, at the Military Cemetery on Mount Herzl in Jerusalem, Tuesday April 21, 2026. (Ilia Yefimovich/Pool Photo via AP)
Netanyahu memaklumkan, beliau telah menjalani rawatan bagi kanser prostat, sekali gus pengakuan awam pertama mengenai diagnosis tersebut. - Gambar AP

JERUSALEM: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Jumaat memaklumkan, beliau telah menjalani rawatan bagi kanser prostat, sekali gus pengakuan awam pertama mengenai diagnosis tersebut.

Menurut Netanyahu, kira-kira satu setengah tahun lalu beliau menjalani pembedahan prostat. 

Advertisement

Kemudian, dua setengah bulan lalu, doktor mengesan dan merawat ketumbuhan kecil di Hospital Hadassah, Baitulmaqdis, menggunakan terapi radiasi. 

Rawatan itu tidak diumumkan kepada umum sebelum ini.

“Saya memohon agar pengumuman mengenainya ditangguhkan selama dua bulan supaya ia tidak didedahkan ketika kemuncak perang” menentang Iran, kata pemimpin Israel berusia 76 tahun itu.

Beliau berkata, keadaannya kini semakin sihat dan menyifatkan ketumbuhan berkenaan sebagai “isu kesihatan kecil.”

Kesihatan Netanyahu menjadi bahan spekulasi dalam minggu-minggu awal perang dengan Iran susulan penyebaran imej palsu yang dijana kecerdasan buatan (AI), termasuk oleh media kerajaan Iran, yang mendakwa beliau telah meninggal dunia.

Pengarah unit onkologi Hospital Hadassah, Aharon Popovtser berkata, Netanyahu didiagnosis pada peringkat awal dan menegaskan kanser prostat merupakan penyakit yang lazim dalam kalangan lelaki seusia beliau.

“Kami boleh menyatakan berdasarkan hasil ujian pengimejan dan darah yang dijalankan, penyakit itu telah hilang,” katanya.

Netanyahu, Perdana Menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel yang kini menguruskan konflik di Iran serta peperangan di Gaza dan Lubnan, sebelum ini pernah dikritik kerana tidak mendedahkan maklumat kesihatannya secara telus.

Antara lain, beliau hanya memaklumkan kepada umum mengenai pemasangan perentak jantung bagi merawat masalah jantung berpanjangan seminggu selepas beliau dilaporkan pengsan ketika menghadiri satu acara awam. - Agensi

Must Watch Video