SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan telah membalas surat rakan sejawatan masing-masing dari Malaysia pada Selasa (26 April) serta menjelaskan yang Nagaenthran K Dharmalingam telah melalui segala proses perundangan sewajarnya.

Jurucakap Kementerian Luar (MFA) dalam satu kenyataan menjawab pertanyaan media mengenai surat rayuan daripada pemimpin Malaysia mengenai pelaksanaan kehakiman Nagaenthran.

Pada Khamis (27 April), Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) memaklumkan kerajaan melalui Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah sekali lagi menghantar surat kepada rakan sejawatan di Singapura minggu ini, meminta budi bicara pihak berkuasa Singapura mempertimbangkan untuk meringankan hukumannya.

Sebelum itu surat rayuan pertama kepada kerajaan Singapura dihantar Perdana Menteri dan Menteri Luar pada November 2021.

Pada Disember 2021, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut mengutus surat kepada Presiden Republik Singapura agar meringankan hukuman Nagaenthran.

Nagaentran, 34, menjalani hukuman gantung pada Rabu (27 April) di Penjara Changi, Singapura.

Berasal dari Perak, Nagaentran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana mengedar 42.72g heroin pada 2009 ke Singapura.

BACA: Jasad Nagaenthran yang dihukum gantung di Singapura selamat disemadikan

BACA: Nagaenthran jalani hukuman gantung: Ini apa yang perlu diketahui

Nagaenthran sepatutnya dijadualkan menjalani hukuman pada 10 Nov 2021, tetapi mendapat perintah penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah dimaklumkan dia positif COVID-19 ketika hadir untuk mengemukakan rayuan terakhirnya.

Peguam Nagaenthran mendakwa bahawa dia kurang upaya daripada segi intelek.

-- BERNAMA