AS naikkan duti import kenderaan bermotor, tarif timbal balas ke atas Korea Selatan

Amerika Syarikat menaikkan "tarif timbal balas" dan duti import kenderaan bermotor Korea Selatan kepada 25 peratus daripada 15 peratus. - Gambar fail/Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin berkata beliau menaikkan "tarif timbal balas" dan duti import kenderaan bermotor ke atas Korea Selatan kepada 25 peratus daripada 15 peratus, lapor Agensi Berita Yonhap.
Beliau berhujah bahawa badan perundangan sekutu Asia itu belum menyelesaikan proses domestik untuk melaksanakan perjanjian perdagangan dua hala.
Trump membuat pengumuman mengejut itu dalam satu hantaran di media sosial, menyatakan pentadbirannya telah bertindak "pantas" menurunkan tarif selepas memeterai perjanjian perdagangan dan mengharapkan rakan dagang "berbuat perkara yang sama". Pemerhati berpendapat kenyataan itu mungkin mencerminkan keinginan beliau untuk melihat Seoul segera menunaikan komitmen pelaburannya.
Pengumuman itu mendorong pejabat presiden Korea, Cheong Wa Dae, mengadakan mesyuarat antara agensi bagi membincangkan respons, dan memutuskan untuk menghantar Menteri Industri Kim Jung-kwan, yang kini berada di Kanada ke Amerika Syarikat untuk mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick.
"Badan perundangan Korea Selatan tidak memenuhi perjanjiannya dengan Amerika Syarikat. Presiden Lee dan saya mencapai "Perjanjian Hebat" untuk kedua-dua negara pada 30 Julai 2025, dan kami mengesahkan semula terma-terma itu ketika saya berada di Korea pada 29 Oktober 2025. Mengapa badan perundangan Korea belum meluluskannya?" tulis Trump di Truth Social.
"Oleh kerana badan perundangan Korea belum meluluskan Perjanjian Perdagangan Bersejarah kami - yang merupakan prerogatif mereka, saya dengan ini meningkatkan TARIF Korea Selatan terhadap Kenderaan Bermotor, Kayu, Farmaseutikal dan semua Tarif Timbal Balas lain daripada 15 peratus kepada 25 peratus."
Masih belum diketahui bila Trump akan menguatkuasakan tarif baharu itu. Rumah Putih tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Beliau dipercayai merujuk rang undang-undang yang dikemukakan Parti Demokratik yang memerintah ke Perhimpunan Kebangsaan pada November bagi melaksanakan perjanjian perdagangan dan pelaburan dua hala itu. Ia masih belum diluluskan badan perundangan itu.
Pengumuman tarif oleh Trump terhadap Korea Selatan jika dikuatkuasakan, boleh menimbulkan ketidakpastian baharu dalam hubungan dua hala.
Langkah Trump menaikkan tarif itu dilihat memberi tekanan kepada Korea Selatan untuk mempercepat usaha memenuhi komitmen perjanjian perdagangan berkenaan, khususnya dalam aspek pelaburan.
Seoul dijangka membuat pelaburan -- dengan had tahunan US$20 bilion -- di Amerika Syarikat tahun ini selaras perjanjian perdagangan itu, tetapi timbul spekulasi bahawa kelemahan mata wang Korea berbanding dolar AS boleh menjejaskan keupayaan negara itu menunaikan komitmen pelaburannya.
Pengumuman pada Isnin itu dibuat ketika kebimbangan meningkat di Washington berhubung siasatan Korea Selatan terhadap Coupang Inc., syarikat yang disenaraikan di AS, susulan kebocoran data pelanggan dan langkah kawal selia negara itu terhadap syarikat platform dalam talian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


