Skip to main content

Dunia

Nama bahasa Inggeris dewan tertinggi Parlimen Jepun ditukar kepada 'Senate'

Japanese Diet House -- Adobe Stock
House of Councillors yang kini ditukar nama bahasa Inggeris kepada Senate mempunyai kuasa yang lebih terhad berbanding Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 anggota. - Foto Adobe Stock
Advertisement

TOKYO: Nama dalam bahasa Inggeris bagi dewan tertinggi Parlimen Jepun akan ditukar daripada House of Councillors kepada Senate bagi memperjelas bahawa anggotanya ialah wakil rakyat yang dipilih di peringkat kebangsaan, menurut keputusan jawatankuasa dewan itu pada Khamis, lapor Agensi Berita Kyodo.

Perubahan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Peraturan dan Pentadbiran Dewan Tertinggi dan dijangka dilaksanakan secara berperingkat.

Kerajaan akan diminta mengemas kini penggunaan nama baharu itu dalam dokumen rasmi, manakala istilah pada pasport rasmi anggota dewan dan laman sesawang dewan berkenaan turut akan dikemas kini secara berperingkat.

Selaras dengan perubahan itu, 248 anggota dewan berkenaan akan dirujuk sebagai senator.

Menurut sekretariat dewan tertinggi, istilah Senate dipilih kerana ia merupakan nama bahasa Inggeris yang lazim digunakan bagi dewan tertinggi dalam kebanyakan sistem perundangan dwidewan.

Dewan tertinggi Jepun mempunyai kuasa yang lebih terhad berbanding Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 anggota.

Anggota dewan tertinggi berkhidmat selama enam tahun, dengan separuh daripada 248 kerusi dipertandingkan dalam pilihan raya yang diadakan setiap tiga tahun.

-- BERNAMA-KYODO

 

 

Must Watch Video

Advertisement