Skip to main content

Politik

PRN Melaka: Abdul Hakim ada populariti sendiri, diyakini diterima pengundi DUN Lendu - Sulaiman

Sulaiman berkata Abdul Hakim juga mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati rakyat dan tidak semestinya perlu bergantung kepada legasi pemimpin terdahulu untuk mendapatkan sokongan pengundi - Astro AWANI/Firdaus Mohari
Sulaiman berkata Abdul Hakim juga mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati rakyat dan tidak semestinya perlu bergantung kepada legasi pemimpin terdahulu untuk mendapatkan sokongan pengundi - Astro AWANI/Firdaus Mohari
Advertisement

ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid mempunyai kekuatan dan populariti tersendiri serta diyakini mampu mendapat penerimaan baik daripada pengundi di kawasan berkenaan, kata bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Sulaiman yang juga penyandang kerusi DUN Lendu berkata latar belakang Abdul Hakim yang mudah didekati serta tidak asing dalam kalangan masyarakat setempat menjadi antara kelebihan calon itu untuk meraih sokongan pada 14 November ini.

“Sepanjang lapan hari kempen ini, sambutan terhadap beliau agak memberangsangkan. Hakim juga anak tempatan di sini dan bapanya, Ustaz Wahid, pernah menjadi tokoh politik serta dikenali masyarakat setempat.

Advertisement

“Setiap kali ceramah, calon ada. Selain itu, pelbagai aktiviti turut dijalankan dan masih ada beberapa hari lagi menjelang hari pilihan raya, termasuk beberapa siri ceramah yang telah dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri sesi walkabout bersama Abdul Hakim di Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba, di sini, hari ini.

Advertisement

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata Abdul Hakim juga mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendekati rakyat dan tidak semestinya perlu bergantung kepada legasi pemimpin terdahulu untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Katanya, perkara paling penting bagi seseorang wakil rakyat ialah memastikan dirinya sentiasa berada bersama masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Saya sudah beritahu Abdul Hakim, tidak ikut legasi pun tidak apa, buatlah cara sendiri. Yang paling penting sosoknya ada di mana-mana, di tokong, kuil, surau, masjid dan kedai-kedai kopi.

“Di situlah tempat kita bersama rakyat, menyantuni mereka dan mendengar sendiri segala permasalahan serta aduan,” katanya yang menjadi ADUN Lendu sejak 2013.

Mengulas dakwaan bahawa popularitinya sendiri lebih besar berbanding Abdul Hakim, Sulaiman berkata calon BN itu mempunyai kekuatan dan karisma tersendiri untuk muncul sebagai pemimpin yang dekat dengan masyarakat.

“Saya sudah bersara. Pada saya, Abdul Hakim juga mempunyai cara dan kaedah popularitinya yang tersendiri.

“Saya yakin Abdul Hakim juga mengikut jejak bapanya yang merupakan seorang agamawan. Kalau Abdul Hakim dapat mengikut jejak orang tuanya, insya-Allah popularitinya nanti akan seperti bapanya yang dikenali ramai di DUN Lendu,” katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman yakin Abdul Hakim mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik sekiranya diberi mandat untuk menerajui DUN Lendu bagi tempoh lima tahun akan datang.

Abdul Hakim yang juga bekas Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nazri Ramli di DUN Lendu.

Must Watch Video

Advertisement