GENEVA: Menteri Luar Itali Antonio Tajani pada Sabtu berkata penjenayah siber telah membocorkan maklumat peribadinya di web gelap dan sedang mencari maklumat lanjut mengenai beliau serta keluarganya, sekali gus mendedahkan mereka kepada “ancaman dan ugutan baharu”, lapor Anadolu Ajansi.
Menerusi hantaran di platform media sosial X, Tajani berkata pihak yang bertanggungjawab telah menyebarkan maklumat peribadinya sejak beberapa hari lalu dan menawarkan bayaran bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai beliau serta orang tersayang.
“Reaksi saya amat mudah: Saya tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk ugutan,” katanya.
Tajani mengaitkan tindakan yang didakwa menyasarkannya itu dengan sokongan Itali terhadap Ukraine.
“Pendirian kami terhadap Ukraine merupakan sebab politik mengapa saya menjadi sasaran,” katanya.
Menteri itu turut membayangkan bahawa ancaman berkenaan sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap langkah keselamatan siber yang diperkenalkan di Kementerian Luar Itali sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau berkata sebuah direktorat khusus bagi keselamatan siber telah ditubuhkan pada 1 Jan untuk menangani pencerobohan siber oleh pihak yang “sering mempunyai kaitan dalam satu atau lain cara dengan entiti negara yang memusuhi kami”.
“Kami sudah beroperasi dan berhubung dengan sekutu kami,” kata Tajani sambil berikrar untuk terus memperkukuh kerjasama dalam menangani ancaman siber.
-- BERNAMA-ANADOLU