WASHINGTON: NASA menilai kegagalan misi ujian Starliner pada 2024, yang menyebabkan dua angkasawan terkandas selama lebih sembilan bulan di angkasa lepas, sebagai 'Mishap Type A', iaitu kategori paling serius dalam klasifikasi keselamatan agensi itu.
Kategori tersebut biasanya digunakan untuk insiden yang mengakibatkan kerosakan melebihi AS$2 juta, kehilangan kenderaan atau kawalan, atau korban jiwa, dan setaraf dengan bencana kapal angkasa Columbia (2023) dan Challenger (1986).
Advertisement
Ketua NASA yang baharu, Jared Isaacman, mengkritik Boeing, pembina Starliner, serta kepimpinan NASA sendiri kerana keputusan yang lemah dan kegagalan pengurusan dalam membenarkan misi itu diteruskan walaupun terdapat isu sejak awal.
Beliau menegaskan bahawa misi itu sepatutnya diklasifikasikan sebagai insiden serius sejak masalah pemuju roket dan kebocoran helium dikesan sejurus selepas pelancaran pada Jun 2024.
Dua angkasawan NASA, Suni Williams dan Butch Wilmore, terpaksa menunggu hampir sembilan bulan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sebelum pulang menggunakan kapal SpaceX Crew Dragon pada Mac 2025 selepas Starliner dianggap tidak selamat untuk membawa pulang kru.
Laporan setebal lebih 300 halaman itu menyorot pelbagai punca termasuk:
- Kegagalan perkakasan, seperti kerosakan pemuju roket dan kebocoran sistem propulsi.
- Kesilapan kepimpinan dan budaya kerja, termasuk toleransi risiko yang tinggi dan komunikasi yang lemah antara NASA dan Boeing.
- Penyeliaan teknikal yang tidak mencukupi, menyebabkan masalah lama Starliner tidak diatasi sebelum misi dihantar.
Isaacman menegaskan NASA tidak akan menerbangkan kru lain menggunakan Starliner sehingga semua punca teknikal difahami dan diperbetulkan.
NASA menerima laporan itu sebagai penemuan akhir dan sedang melaksanakan tindakan pembetulan.
“Untuk jalankan misi yang mengubah dunia, kita mesti telus tentang kejayaan dan kegagalan kita. Kita perlu mengakui kesilapan dan memastikan ia tidak berulang,” kata Isaacman.