NASIB Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan bakal ditentukan oleh Mahkamah Agung negara itu berikutan kemelut politik yang berlaku ketika ini, lapor BBC.

Imran kini berdepan cubaan pihak pembangkang untuk menyingkirkan beliau daripada terus memegang jawatan perdana menteri.

Namun Imran terselamat dari undi tidak percaya yang cuba diusahakan oleh pembangkang apabila ahli parti pimpinannya menyekat usul tidak percaya terhadapnya dan membubarkan Parlimen.

Imran mendakwa usul undi tidak percaya terhadap beliau merupakan sebahagian konspirasi diketuai Amerika Syarikat untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya, namun dakwaan tersebut dinafikan Amerika Syarikat.

Beberapa ahli politik pembangkang memfailkan petisyen di Mahkamah Agung untuk memutuskan sama ada tindakan menyekat usul undi tidak percaya berlandaskan Perlembagaan negara.

Mahkamah dijangka membuat keputusan pada lewat hari ini.

Semalam, Presiden Pakistan, Dr Arif Alvi membubarkan Parlimen bagi memberi laluan untuk pilihan raya umum diadakan lebih awal di negara itu.

Pembubaran itu dilakukan atas nasihat Imran sekali gus menggagalkan usaha pembangkang untuk menyingkirkan pemimpin tersebut daripada jawatan tertinggi itu.

Ia berlaku selepas Timbalan Speaker enggan membenarkan usul undi tidak percaya di Parlimen dan menyifatkan ia sebagai 'tidak berperlembagaan', yang mana Imran dijangka akan kalah.

Imran dalam satu ucapan disiarkan di televisyen semalam menggesa Parlimen dibubarkan dengan segera memandangkan terdapat campur tangan yang `tidak boleh diterima’ dalam institusi demokrasi Pakistan.

Pasukan tentera juga dilihat sudah mula berkawal di semua bangunan kerajaan di Islamabad.