INTERNATIONAL
Nasib taikun hartanah Vietnam berhubung kes pengubahan wang haram AS$17.7 bilion diketahui hari ini

Lan sebelum ini didapati bersalah mengubah wang haram sebanyak AS$17.7 bilion serta menyeludup wang secara haram merentas sempadan bernilai AS$4.5 bilion. - Gambar AP
HANOI: Seorang jutawan hartanah Vietnam, Truong My Lan, yang sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan mengubah wang haram lebih AS$17 bilion, dijangka mengetahui nasib rayuannya hari ini (Isnin) selepas beliau mendakwa kejadian itu berlaku secara “tidak sengaja.”
Lan yang juga berdepan hukuman mati dalam kes berasingan kerana didapati bersalah mencuri dana daripada Saigon Commercial Bank (SCB) serta melakukan penipuan bernilai AS$27 bilion, sebelum ini gagal dalam cubaan mencabar keputusan hukuman mati tersebut.
Mahkamah rayuan menolak pengurangan hukuman berkenaan, namun memaklumkan, hukuman mati boleh diketepikan sekiranya Lan memulangkan tiga perempat daripada jumlah aset yang dicurinya.
Kini, wanita berusia 68 tahun itu menunggu keputusan rayuan terbaharu oleh mahkamah di Bandar Ho Chi Minh berhubung sabitan dalam perbicaraan kedua pada Oktober lalu, di mana beliau dijatuhi hukuman penjara seumur hidup atas tiga pertuduhan jenayah.Dalam rayuan terakhirnya minggu lalu, Lan menyifatkan kejadian itu sebagai "satu kemalangan".
"Sejak dipenjarakan, saya telah berusaha sedaya upaya untuk mencari penyelesaian terbaik berkaitan projek dan harta saya," katanya seperti dilaporkan media arus perdana Vietnam.
Perbicaraan turut menyentuh bagaimana aset miliknya boleh digunakan untuk membayar pampasan kepada mangsa yang terlibat.
“Tolong hargai usaha saya,” tambahnya.
Lan sebelum ini didapati bersalah mengubah wang haram sebanyak AS$17.7 bilion serta menyeludup wang secara haram merentas sempadan bernilai AS$4.5 bilion.
Beliau juga disabitkan kesalahan penipuan bon bernilai AS$1.2 bilion.
Sepanjang proses rayuan, pihak pendakwa memohon agar hukuman terhadap Lan diringankan atas alasan beliau telah memulangkan satu perempat daripada jumlah wang yang diperoleh hasil penipuan terhadap ribuan pelabur bon.
Pada perbicaraan Oktober lalu, mahkamah memutuskan bahawa Lan merupakan “dalang utama” yang melakukan jenayah tersebut dengan kaedah yang kompleks dan berulang kali, menyebabkan kerugian serius kepada negara.
Seramai 33 lagi individu turut dijatuhkan hukuman dalam perbicaraan itu, dengan hukuman penjara antara dua hingga 23 tahun.
Media tempatan melaporkan, 27 daripada mereka turut memfailkan rayuan.
Dalam perbicaraan pertamanya pada April 2024, Lan disabitkan kesalahan menyeleweng AS$12.5 bilion, namun pihak pendakwa berkata keseluruhan kerugian akibat penipuan itu mencecah AS$27 bilion – bersamaan kira-kira 6 peratus daripada KDNK Vietnam pada tahun 2023.
Walaupun hanya memiliki 5 peratus saham SCB secara rasmi, mahkamah mendapati Lan sebenarnya menguasai lebih 90 peratus bank itu melalui rangkaian ahli keluarga, rakan dan pekerjanya.
Kes berprofil tinggi ini mencetuskan kemarahan awam, selepas puluhan ribu rakyat Vietnam kehilangan simpanan mereka yang dilaburkan dalam bank berkenaan, sehingga mencetuskan tunjuk perasaan jarang berlaku di negara komunis tersebut. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami