DUNIA
NATO rancang beli 700 pesawat pejuang F-35 dari Amerika Syarikat

NATO merancang untuk membeli sejumlah 700 pesawat pejuang F-35 dari Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kekuatan ketenteraan pakatan itu. - Gambar fail/BERNAMA
MOSCOW: Negara-negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) merancang untuk membeli sejumlah 700 pesawat pejuang F-35 dari Amerika Syarikat (AS) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kekuatan ketenteraan pakatan itu, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Sekutu akan melabur dalam lebih banyak kapal perang dan pesawat. Sebagai contoh, sekutu Amerika akan memperoleh sekurang-kurangnya 700 pesawat pejuang F-35 secara keseluruhan," kata Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte pada Isnin ketika berucap di satu persidangan di London.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa negara-negara NATO kini ketinggalan berbanding Rusia dan China dalam aspek pengeluaran ketenteraan serta mengesahkan rancangan untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan.
"Angkatan tentera kita juga memerlukan ribuan lagi kenderaan perisai dan kereta kebal. Jutaan peluru artileri tambahan... Kita juga akan melabur dalam lebih banyak dron dan sistem peluru berpandu jarak jauh. Serta melabur lebih banyak dalam keupayaan angkasa dan siber," kata Rutte.Beliau berkata bahawa pakatan itu sepatutnya meningkatkan keupayaan pertahanan udara dan peluru berpandu sebanyak 400 peratus.
Pada awal Mei lalu, media melaporkan cadangan Rutte agar sekutu NATO meningkatkan perbelanjaan pertahanan mereka kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain memperuntukkan tambahan 1.5 peratus KDNK untuk memenuhi tuntutan Presiden AS, Donald Trump bagi mencapai sasaran lima peratus.
Keperluan minimum itu dijangka dimuktamadkan pada sidang kemuncak NATO yang dijadual berlangsung di The Hague pada 24 hingga 25 Jun.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami