WASHINGTON: Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyambut baik persetujuan baharu antara Amerika Syarikat (AS) dan Denmark mengenai aspek keselamatan di Greenland, sekali gus menamatkan pertikaian diplomatik yang tercetus susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk mengambil alih pulau Artik itu secara paksa.
Trump berkata, Denmark bersetuju memberikan AS "kawalan kekal terhadap keselamatan dan semua keperluan lain" di Greenland, wilayah separa autonomi milik Denmark yang terletak di kawasan Artik dan mempunyai kedudukan strategik dari sudut pertahanan.
Bagaimanapun, pemimpin Denmark dan Greenland menegaskan, perjanjian itu bertujuan memperkukuh keselamatan bersama serta dijangka dimeterai secara rasmi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu depan, tanpa mendedahkan kandungan terperincinya.
Perkembangan itu berlaku selepas berbulan-bulan Trump mendesak agar Greenland diletakkan di bawah kawalan AS atas alasan keselamatan negara, dengan alasan lokasi strategik pulau berkenaan amat penting bagi pertahanan selain memiliki sumber mineral yang bernilai tinggi.
Dalam satu hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, perjanjian tersebut tidak melibatkan sebarang kos kepada AS dan membolehkan Washington mengambil apa jua langkah yang dianggap perlu untuk melindungi keselamatan Greenland.
Beliau turut menjelaskan bahawa perjanjian itu mengandungi syarat yang melarang mana-mana musuh AS menempatkan kehadiran ketenteraan atau membuat pelaburan sensitif di Greenland tanpa kelulusan rasmi bertulis daripada Washington.
Jurucakap NATO pula menyifatkan perjanjian tersebut sebagai langkah yang mampu memperkukuh keselamatan, kestabilan dan kerjasama di rantau Artik, yang semakin mendapat perhatian kuasa-kuasa besar dunia.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen berkata, beliau gembira dengan prospek persetujuan yang dianggap menguntungkan semua pihak terlibat.
Dalam kenyataan bersama dengan Perdana Menteri Greenland, Jens-Frederik Nielsen, Frederiksen menegaskan, perjanjian itu akan memperkukuh keselamatan bersama di Artik dan Atlantik Utara, selain mengiktiraf kedaulatan Kerajaan Denmark serta hak rakyat Greenland untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Menurut mereka, perjanjian itu masih perlu melalui proses kelulusan Parlimen sebelum dapat dikuatkuasakan sepenuhnya.
Nielsen pula menyifatkan perjanjian berkenaan sebagai satu perkembangan positif yang dapat menjamin keselamatan Greenland, Denmark, AS dan sekutu Barat.
"Perjanjian ini mengiktiraf kepentingan Greenland dan kedudukan kami dalam kerjasama antarabangsa. Ia memberi manfaat kepada semua pihak," katanya.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, perjanjian tersebut membantu menegaskan semula kedaulatan Denmark ke atas Greenland serta menunjukkan undang-undang antarabangsa terus dihormati.
"Saya melihat kedaulatan Denmark dihormati dan undang-undang antarabangsa dipatuhi. Itulah yang kami tuntut selama ini, dan ia satu perkembangan yang baik," kata Macron seperti dipetik agensi berita antarabangsa, AFP.
Sebelum ini, Trump berulang kali menyuarakan hasrat untuk membeli atau menggabungkan Greenland ke dalam wilayah AS, dengan alasan pulau itu berdepan ancaman daripada kuasa pesaing seperti Rusia dan China.
Desakan berterusannya mencetuskan bantahan daripada rakyat Greenland, Denmark serta beberapa negara anggota NATO yang melihat tindakan itu sebagai cabaran terhadap prinsip kedaulatan sesebuah negara.
Walaupun ramai menganggap krisis diplomatik itu hampir berakhir, masih terdapat kebimbangan dalam kalangan warga Greenland mengenai butiran sebenar perjanjian tersebut.
Ahli Parlimen Greenland, Naaja Nathanielsen menyifatkan perkembangan itu sebagai berita yang telah lama dinantikan, namun menekankan bahawa hak penentuan nasib sendiri rakyat Greenland mesti terus dipelihara.
Bekas ahli politik Greenland, Aaja Chemnitz pula berkata, beliau menantikan pemuktamadan perjanjian itu, namun masih bersikap berhati-hati.
"Saya tidak begitu yakin dengan Trump," katanya.
Teks rasmi perjanjian masih belum diterbitkan. Bagaimanapun, seorang pegawai Jabatan Negara AS yang enggan dikenali memaklumkan, antara syarat utama yang dipersetujui ialah perjanjian itu akan kekal berkuat kuasa walaupun Greenland mencapai kemerdekaan pada masa depan.
Menurut pegawai tersebut, AS juga diberi kuasa sepihak untuk membina kemudahan ketenteraan tambahan tanpa memerlukan kelulusan Denmark atau Greenland, termasuk hak akses kekal, penempatan pangkalan dan laluan penerbangan ketenteraan.
Perjanjian itu turut melarang negara bukan anggota NATO membina pangkalan tentera di Greenland dan menyekat pelaburan daripada negara yang dianggap boleh mengancam keselamatan AS.
Pegawai berkenaan secara khusus merujuk kepada Rusia dan China, dengan menyatakan bahawa perjanjian itu akan menghalang kedua-dua negara daripada menempatkan tentera atau melabur dalam sektor strategik dan sensitif di Greenland.
Walaupun demikian, masih belum jelas sejauh mana perjanjian baharu itu berbeza daripada perjanjian pertahanan 1951 antara Denmark dan AS yang sudah pun membenarkan Washington menghantar seberapa ramai anggota tenteranya ke Greenland.
Ketika ini, AS mempunyai lebih 100 anggota tentera yang ditempatkan secara tetap di Pangkalan Pituffik di bahagian barat laut Greenland.
Trump sebelum ini menegaskan, Greenland amat penting bagi pelaksanaan sistem pertahanan "Golden Dome", iaitu perisai pertahanan yang dirancang untuk melindungi AS daripada serangan peluru berpandu, khususnya daripada Rusia dan China.
Selain kepentingan strategik ketenteraan, Greenland turut memiliki rizab mineral nadir bumi yang besar dan sebahagian besarnya masih belum diterokai.
Sumber tersebut amat penting bagi pengeluaran teknologi moden termasuk telefon pintar, bateri kenderaan elektrik dan pelbagai komponen industri berteknologi tinggi. -Agensi