Nestle mohon maaf susulan penarikan balik susu formula bayi di peringkat global

Syarikat itu mengumumkan penarikan balik produk berkenaan minggu lalu sebagai langkah berjaga-jaga. - Gambar fail
GENEVA: Nestle pada Rabu memohon maaf kepada ibu bapa dan penjaga susulan penarikan balik secara berjaga-jaga beberapa produk susu formula bayi yang menjejaskan pelbagai negara, selepas mengenal pasti apa yang disifatkannya sebagai "isu kualiti" berkaitan satu bahan yang digunakan dalam pengeluaran, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Dalam kenyataan yang ditujukan secara langsung kepada pengguna, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Philipp Navratil berkata syarikat itu mengumumkan penarikan balik produk berkenaan minggu lalu "sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengenal pasti isu kualiti pada satu bahan yang digunakan dalam sebahagian produk kami."
"Sebelum saya menerangkan situasi ini dengan lebih terperinci, saya ingin terlebih dahulu memohon maaf dengan ikhlas atas kebimbangan dan gangguan yang mungkin dialami oleh ibu bapa, penjaga serta pelanggan kami," kata Navratil.
Beliau berkata isu kualiti itu disahkan pada Disember di satu daripada kilang Nestle di Belanda, sekali gus mendorong penarikan balik secara sukarela di beberapa negara Eropah dengan kerjasama pihak berkuasa kebangsaan. Siasatan lanjut kemudiannya mengesan punca masalah itu kepada "bahan mentah tertentu daripada seorang daripada pembekal kami."
Sebaik sahaja sumber dikenal pasti, Nestle menghentikan pengedaran semua produk yang mengandungi bahan terjejas itu dan memperluas penarikan balik produk secara berhati-hati pada awal Januari.
"Saya ingin memberi jaminan yang setakat ini tiada kes penyakit yang disahkan berkaitan dengan produk yang terjejas," kata Navratil, sambil menegaskan yang syarikat menganggap adalah penting "untuk bertindak pantas dan telus."
Dalam satu kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya, Nestle memaklumkan ia mengesan "isu kualiti pada bahan yang dibekalkan oleh pembekal utama" dan menjalankan ujian ke atas semua minyak asid arakidonik (ARA) serta campuran minyak berkaitan yang digunakan dalam produk pemakanan bayi yang berpotensi terjejas.
Menurut syarikat itu, minyak ARA digunakan dalam produk pemakanan bayi yang dijual di seluruh dunia, bermakna isu berkenaan menjejaskan pelbagai negara, jenama dan produk. Langkah penarikan balik dilaksanakan mengikut negara selaras dengan peraturan tempatan.
Nestle memaklumkan kelompok produk yang ditarik balik itu mewakili "kurang daripada 0.5 peratus jualan tahunan kumpulan" dan kesan kewangan dijangka tidak ketara.
"Keselamatan dan kesejahteraan bayi kekal sebagai keutamaan utama kami," menurut syarikat itu.
Menurut Nestle, penarikan balik membabitkan produk yang diedarkan di lebih 50 negara merangkumi Eropah, benua Amerika, Asia, Oceania dan Afrika.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


