TEL AVIV: Tel Aviv dilaporkan telah meluluskan menyekat kemasukan penduduk Palestin yang tinggal di Israel dan Baitulmaqdis ke Masjid Al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam sepanjang bulan suci Ramadan.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan, sekatan itu akan mula berkuat kuasa pada minggu kedua bulan depan.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan telah memberikan persetujuannya kepada saranan Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, walaupun agensi keselamatan negara itu, Shin Bet telah memberi amaran bahawa sekatan ke atas akses penduduk Palestin ke Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan boleh meningkatkan lagi kemarahan.

"Walaupun diberi amaran daripada Shin Bet mengenai potensi gangguan antara penduduk Palestin di dalam Israel dan polis Israel, Netanyahu bersetuju menerima cadangan daripada Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir untuk mengehadkan akses umat Palestin ke Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan yang akan datang," lapor Saluran 13.

Pentadbiran Netanyahu akan membuat keputusan rasmi mengenai isu ini dalam beberapa hari akan datang, dakwa penyiar itu lagi.

“Kemasukan umat Palestin ke Masjid Al-Aqsa pada bulan Ramadan akan dihadkan,” lapor saluran itu, memetik sumber tidak dikenali.

Beberapa media Israel termasuk Saluran 12 telah melaporkan, dalam dua hari terakhir Shin Bet memberi amaran kepada kerajaan bahawa melarang penduduk Palestin daripada memasuki Masjid Al-Aqsa semasa Ramadan "boleh membawa kepada gangguan besar."

Sejak permulaan perang di Semenanjung Gaza, polis Israel telah menyekat akses umat Islam Palestin ke Masjid Al-Aqsa, terutamanya pada hari Jumaat.

Jumaat lalu, sekalipun disekat oleh Israel, sekitar 25,000 umat Palestin dapat memasuki Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur untuk menunaikan solat Jumaat buat kali pertama sejak perang.

Ini merupakan hari Jumaat paling lama berturut-turut di mana rakyat Palestin telah dilarang oleh pihak berkuasa Israel daripada menunaikan solat di masjid sejak permulaan perang pada 7 Oktober, kata seorang pegawai di Jabatan Wakaf Islam Baitulmaqdis, yang enggan namanya disiarkan.

Israel telah menggempur Semenanjung Gaza sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Serangan Israel berikutnya telah membunuh hampir 29,000 dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan, manakala kurang daripada 1,200 rakyat Israel dipercayai terbunuh dalam serangan Hamas. - Agensi