BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan beliau menyokong pasukan kebangsaan Argentina dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2026 menentang Sepanyol pada Isnin atas dasar hubungan rapat dengan Presiden negara itu, Javier Milei.
Sokongan tersebut disuarakan selepas beliau menerima sehelai jersi Argentina daripada Duta Besar Argentina ke Israel, Rabbi Shimon Axel Wahnish, dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri.
ראש הממשלה נתניהו נפגש עם שגריר ארגנטינה בישראל והעביר מסר לנשיא מיליי לקראת גמר המונדיאל: ״חאבייר אתה חבר אמיתי. אנחנו תומכים בך ותומכים בארגנטינה מחר - בהצלחה!״ pic.twitter.com/5PeUIMwIX3
— ראש ממשלת ישראל (@IsraeliPM_heb) July 18, 2026
Pertemuan itu turut menyaksikan Wahnish memperdengarkan rakaman pesanan suara khas daripada Milei kepada Netanyahu.
Dalam rakaman tersebut, Milei menyifatkan Netanyahu sebagai sahabat yang sentiasa memberikan sokongan kepada Argentina.
“Saya gembira mendengar khabar bahawa anda menyokong pasukan Argentina disebabkan oleh saya,” kata Milei.
Netanyahu kemudian membalas dengan menyatakan sokongannya kepada Argentina dalam aksi penentuan kejuaraan dunia itu.
“Javier, anda ialah seorang sahabat. Seorang sahabat yang sejati. Kami menyokong anda dan kami menyokong Argentina dalam pelbagai aspek, termasuk untuk perlawanan esok. Selamat maju jaya!” katanya.
Sebelum ini, dalam satu program podsiar, Netanyahu turut memuji kepimpinan Milei dengan menyifatkannya sebagai “superstar” dan antara sahabat paling rapat Israel.
Menurut beliau, sokongan terhadap Argentina dipengaruhi hubungan erat yang terjalin antara kedua-dua pemimpin dan bukan semata-mata kerana kehadiran bintang bola sepak negara itu, Lionel Messi.
Hubungan di antara Israel dan Argentina dilaporkan semakin rapat sejak Milei memegang jawatan presiden pada 2023, dengan kedua-dua negara memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
Perkembangan itu berlaku ketika Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, disahkan akan hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan di New Jersey, Amerika Syarikat, bagi memberikan sokongan kepada skuad Sepanyol.