Skip to main content

Dunia

New Jersey isytihar darurat, Philadelphia turut beri amaran menjelang ribut salji

NEW JERSEY
Salji menutupi kawasan perumahan di Rutherford, New Jersey. - Foto AP

NEW JERSEY: New Jersey mengisytiharkan darurat cuaca menjelang ribut salji besar yang dijangka melanda negeri itu dari Ahad hingga Isnin, dengan ramalan menunjukkan lebih 25 sentimeter (cm) salji bakal turun di banyak kawasan.

Menurut ramalan cuaca CBS Philadelphia, salji dijangka bermula petang Ahad sebelum bertambah lebat pada waktu malam, dengan kemungkinan sehingga 5cm salji sejam turun.

Advertisement

Amaran ribut salji turut dikeluarkan bagi kawasan pesisir New Jersey kerana risiko penglihatan hampir sifar.

Gabenor Mikie Sherrill mengarahkan perintah darurat itu berkuat kuasa 12 tengah hari, 22 Februari, dan menasihatkan penduduk supaya mengelakkan perjalanan sepanjang tempoh ribut bagi keselamatan.

Agensi pengangkutan NJ Transit turut memberi amaran bahawa penumpang boleh berdepan penangguhan atau pembatalan perkhidmatan.

Pihak berkuasa di Atlantic City menggesa penduduk memindahkan kenderaan dari laluan kecemasan salji sebagai langkah pencegahan.

Dua lokasi, The Wave Garage dan Showboat Garage, menyediakan parkir percuma untuk penduduk sepanjang ribut.

Pegawai bandar memaklumkan bahawa mereka telah menyediakan lebih 1,500 tan garam dan 28 trak penuai salji untuk operasi pembersihan jalan.

Di Philadelphia, Datuk Bandar Cherelle Parker serta pegawai bandar termasuk Penguasa Sekolah Tony Watlington dijadual memberikan perkembangan mengenai persiapan kota dalam masa terdekat.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk supaya berwaspada dan tidak memandu ketika amaran ribut salji berkuat kuasa. 
 

Must Watch Video