DUNIA
New York dijangka terima Datuk Bandar Muslim pertama dari Demokrat

Keputusan pada malam Selasa menunjukkan Zohran mendahului dengan margin besar namun masih belum mencapai ambang 50% untuk menang secara total dalam sistem Ranked Choice Voting (Undi Pilihan Berperingkat) yang digunakan di New York. - AP
NEW YORK: Calon muda berhaluan kiri, Zohran Mamdani, kini bersedia untuk menjadi calon Demokrat bagi jawatan Datuk Bandar New York selepas mencipta kejutan politik yang luar biasa.
Lapor media antarabangsa, ahli politik berusia 33 tahun itu, yang merupakan seorang demokrat sosialis, mengisytiharkan kemenangan dalam pemilihan parti pada Selasa, menewaskan pencabar utamanya, Andrew Cuomo yang merupakan seorang veteran politik dan bekas Gabenor New York.
"Dengan kemenangan malam ini, kita telah mencipta sejarah," kata Zohran dalam ucapan kemenangannya.
Jika terpilih, beliau akan menjadi Datuk Bandar Muslim dan berketurunan India pertama yang memimpin bandar terbesar di Amerika Syarikat itu.Cuomo, 67, cuba membuat kemunculan semula selepas meletak jawatan pada tahun 2021 susulan skandal gangguan seksual.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Zohran atas "kempen yang bijak dan hebat".
Keputusan pada malam Selasa menunjukkan Zohran mendahului dengan margin besar, namun masih belum mencapai ambang 50 peratus untuk menang secara total dalam sistem Ranked Choice Voting (Undi Pilihan Berperingkat) yang digunakan di New York.
Dalam sistem ini, pengundi tidak memilih seorang calon sahaja, tetapi menyusun beberapa calon mengikut keutamaan mereka.
Jika tiada calon mendapat lebih 50 peratus undi pilihan pertama, calon dengan undi paling rendah akan disingkirkan dan undinya dipindahkan kepada calon yang disenaraikan sebagai pilihan seterusnya oleh pengundi.
Proses ini diteruskan sehingga ada calon yang mendapat majoriti undi.
Dalam konteks Zohran, walaupun beliau mendahului dengan jumlah undi yang besar, keputusan rasmi masih belum dimuktamadkan kerana proses pengiraan undi masih berjalan.
Pemilihan Datuk Bandar New York 2025 dijadualkan berlangsung pada 4 November 2025.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami