Komuniti homoseksual di New Zealand berkumpul hari ini bagi meraikan kebenaran perkahwinan sah sesama jantina yang menjadikan negara itu yang pertama di rantau Asia Pasifik memberi kebenaran berhubung perkara berkenaan.

Parlimen akan menjalankan undian hari ini terhadap pindaan satu rang undang-undang Akta Perkahwinan 1955 yang menyatakan perkahwinan sebagai penyatuan dua insan tanpa mengira latar belakang jantina atau bagaimana mereka mengenalpasti jantina pasangan.

Pindaan itu dijangka diluluskan selepas majoriti menyokong dalam dua undian yang sebelumnya termasuk sokongan daripada Perdana Menterinya John Key namun pihak pembangkang telah melancarkan lobi menentang pindaan itu.

"Parti akan diadakan di merata tempat," penyelaras LegaliseLove Wellington Joseph Habgood memberitahu AFP berhubung undian berkenaan.

Berikut merupakan rentetan negara yang mempunyai undang-undang yang sedemikian:

- BELANDA: Pada 1 April 2001, Belanda menjadi negara pertama di dunia yang membenarkan perkahwinan sesama jantina dengan menuntut hak yang sama seperti pasangan heteroseksual termasuk hak mengambil anak angkat.

- BELGIUM: Pasangan homoseksual di Belgium mempunyai hak yang hampir sama seperti pasangan heteroseksual. Mereka diberi hak untuk berkahwin pada 2003 dan parlimen telah membuat undian untuk satu rang undang-undang membenarkan pasangan homoseksual mengambil anak angkat.

- SEPANYOL: Pada 2005 Sepanyol menjadi negara ketiga ahli Kesatuan Eropah yang meluluskan undang-undang bagi perkahwinan sejenis. Pasangan homoseksual boleh mengambil anak angkat sama ada mereka sudah berkahwin atau pun belum.

- KANADA: Kanada melaksanakan undang-undang kebangsaan yang membenarkan pasangan homoseksual berkahwin dan mengambil anak angkat pada Julai 2005 meskipun di kebanyakan kawasan sudah mempunyai kesatuan yang membenarkan perkahwinan sejenis sebelum dari itu.

- AFRIKA SELATAN: Negara tersebut membenarkan hubungan sejenis dan pengambilan anak angkat oleh pasangan itu pada November 2006 menjadikan negara Afrika pertama yang berbuat demikian.

- NORWAY: Undang-undang pada tahun 2009 membenarkan pasangan homoseksual untuk berkahwin dan mengambil anak angkat. Pasangan yang mendapat kelulusan telah wujud di negara itu sejak 20 tahun lalu.

- SWEDEN: Kegiatan homoseksual telah mendapat tempat dalam perkahwinan agama mahupun di upacara sivik sejak 2009.

- PORTUGAL: Di bawah undang-undang tahun 2010, Portugal telah membenarkan perkahwinan sejenis namun tidak menyentuh berhubung isu pengambilan anak angkat.

- ICELAND: Perdana Menteri Johanna Sigurdardottir telah mengahwini pasangan sejatinya sejak Jun 2010 sebaik undang-undang baharu membenarkan perkahwinan sejenis. Pasangan sejenis yang telah hidup bersama sekurang-kurangnya lima tahun mempunyai hak untuk mengambil anak angkat sejak tahun 2006.

- ARGENTINA: Pasangan sejenis dari Argentina merupakan pasangan pertama dari Amerika Selatan dibenarkan berkahwin dan mengambil anak angkat selepas rang undang-undang diluluskan pada 14 Julai 2010.

- DENMARK: Denmark negara pertama di dunia yang membenarkan pasangan sejenis untuk menyertai kesatuan awam pada 1989 membawa kepada undian majoriti bagi membenarkan pasangan homoseksual untuk berkahwin di Gereja Lutheran pada Jun 2012.

- URUGUAY: Uruguay menjalankan undian bulan ini untuk membenarkan perkahwinan sejenis seluruh negara menjadikannya negara kedua Amerika Latin yang berbuat demikian.

Pasangan sejenis boleh berkahwin di sembilan negeri di Amerika Syarikat termasuk di Washington, sebahagian Mexico dan Brazil yang turut membenarkan perkahwinan sejenis.

-- DIJANGKA MENYUSUL --

- PERANCIS: Dewan Senat Perancis menjalankan undian minggu lalu dalam proses untuk meluluskan rang undang-undang pasangan homoseksual diberi hak untuk berkahwin dan mengambil anak angkat.

- BRITISH: Penggubal undang-undang British menjalankan undian Februari lalu terhadap rang undang-undang untuk membenarkan perkahwinan pasangan sejenis meskipun ahli pembangkang dari Parti Konservatif menolak usul berkenaan.

Rang undang-undang itu bakal diteliti oleh badan undang-undang sebelum ke peringkat seterusnya untuk diisytihar secara rasmi.

-- KESATUAN AWAM --

Sebilangan negara yang membenarkan pengambilan anak angkat mengenalpasti pasangan itu dan memberi hak yang lebih kurang sama seperti pasangan heteroseksual.

Negara yang sudah mewujudkan kesatuan namun belum menerima perkahwinan sejenis termasuk Jerman (2001), Finland (2002), Republik Czech (2006), Switzerland (2007), Colombia dan Ireland pada 2011.