WELLINGTON: New Zealand akan membatalkan larangan generasi merokok untuk membantu menampung pemotongan cukai yang dijanjikan, susulan janji yang dibuat gabungan tiga parti kerajaan baharu negara itu.

Larangan itu, yang dikatakan yang pertama di dunia, menghalang generasi akan datang warga New Zealand iaitu mereka yang dilahirkan selepas 2008, daripada membeli tembakau, serta mengurangkan secara drastik bilangan peruncit yang menjual produk tersebut.

Parti Kebangsaan New Zealand memeterai perjanjian itu pada Jumaat lalu, selepas rundingan panjang mengenai peranan dan dasar menteri termasuk hak Orang Asli, pemotongan cukai dan perubahan di bank pusat.

Parti itu, diketuai oleh Perdana Menteri Christopher Luxon, kembali berkuasa bersama parti popular, New Zealand First dan libertarian ACT New Zealand, selepas enam tahun pemerintahan oleh kerajaan yang dipimpin oleh Parti Buruh berhaluan kiri.

Kerajaan baharu akan mengurangkan cukai pendapatan peribadi, berikutan dasar kempen yang digunakan untuk menarik pengundi berpendapatan sederhana yang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup.

Perjanjian gabungan itu juga menggariskan beberapa rancangan lain, termasuk pemansuhan larangan penjualan rokok kepada generasi akan datang yang diperkenalkan oleh kerajaan Buruh terdahulu.

Dokumen menunjukkan kerajaan baharu akan memansuhkan Akta Persekitaran Bebas Rokok dan Produk Terkawal (Tembakau Asap) Pindaan 2022 untuk "menghapuskan keperluan untuk penyahkotinan dan pengurangan kedai runcit".