BANDAR HILIR: Di sebalik kemeriahan sambutan Deepavali, sebahagian peniaga di Little India berdepan cabaran mengekalkan pelanggan ketika persaingan perniagaan semakin sengit.
Rajaswari Shunmugan, 35, yang mengambil cuti daripada tugasnya sebagai doktor untuk membantu perniagaan bunga keluarga berkata, jualan tahun ini tidak sebaik tahun lalu.
"Dulu di Melaka tak banyak kedai bunga. Sekarang hampir setiap sudut ada kedai bunga. Dulu, kedai kami antara kedai bunga yang pertama. Perniagaan ini milik moyang saya," katanya ketika ditemui Astro AWANI semalam.
Menurutnya, pertambahan kedai bunga menjadi antara faktor yang mungkin mempengaruhi jualan, selain keadaan ekonomi dan perubahan corak pembelian pelanggan.
Pelancong ramai, jualan belum tentu meningkat
Pereka inai, Searda Krishnan, 52, yang sudah 30 tahun berkecimpung dalam bidang itu turut mengakui sambutan pelanggan semakin perlahan meskipun Little India terus menerima kunjungan pelancong.
"Tahun ini memang kurang, tak macam tahun lepas. Tahun ini memang ada perbezaan, pelanggan tak ramai sangat," katanya yang menjalankan perniagaan sepenuh masa di Muar.
Bagaimanapun, Searda yang kembali berniaga di Little India setiap kali Deepavali melihat kehadiran pengunjung pelbagai kaum sebagai peluang memperkenalkan seni inai kepada pelanggan baharu.
Berbeza dengan Searda, pemilik restoran, V. Saravanan, 50, masih mampu mengekalkan perniagaan hasil sokongan pelanggan tetap yang menggemari makanan tradisionalnya.
"Kami ada pelanggan tetap. Mereka sudah biasa membeli makanan di restoran saya dan tahu rasa masakan kami. Masakan kami asli, tidak dicampur dengan bahan lain dan tidak menggunakan bahan siap diproses di kilang," katanya.
Saravanan yang sudah lebih tiga dekad berniaga berkata, hujan sedikit menjejaskan jualan kali ini, namun perniagaannya secara keseluruhan masih memuaskan.
Peniaga baharu mahu peluang berkembang
Sementara itu, Narinderjit Singh Charan Singh, 53, yang baru membuka warung di kawasan berkenaan berharap urusan pentadbiran dan akses pembiayaan dipermudah bagi membantu peniaga kecil.
"Sebagai peniaga kecil, saya berharap kerajaan dapat memberi lebih banyak peluang kepada kami. Proses dan peraturan yang ada mungkin boleh dilonggarkan sedikit, sekurang-kurangnya dapat memberi peluang kepada kami untuk terus maju," katanya.
Bekas jurutera yang pernah mengusahakan restoran di Kuala Lumpur itu kini merancang memperluas promosi melalui platform penghantaran makanan bagi menarik pelanggan baharu.