ANKARA/KARACHI: New Zealand akan membuka semula sempadannya untuk pelancong asing mulai bulan depan, kata Perdana Menteri Jacinda Ardern pada Rabu.

Ardern dalam satu kenyataan berkata untuk fasa pertama pembukaan, warga Australia dibenarkan melakukan perjalanan ke New Zealand tanpa perlu menjalani kuarantin mulai 13 April.

Sementara itu, bermula 2 Mei, pelancong dari negara dikecualikan visa seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Korea Selatan dan Singapura, dan individu yang memiliki visa pelawat sah boleh dan sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 boleh melancong ke negara itu, lapor Agensi Anadolu.

"Kami telah menutup sempadan negara dua tahun lalu bagi membendung penularan COVID-19.

"Tetapi dengan kadar peratusan vaksinasi yang tinggi serta penularan Omicron dilihat semakin terkawal, sempadan negara kini selamat untuk dibuka.

"Saya berbangga menyatakan bahawa New Zealand mampu menyediakan tempat selamat untuk pelancong berkunjung kerana langkah pencegahan COVID-19 dan sistem kesihatan yang baik," kata Ardern.

New Zealand telah memvaksin 94 peratus penduduknya berumur 12 tahun ke atas.

Dalam tempoh 24 jam lepas, negara ini telah melaporkan 19,452 kes jangkitan komuniti dan lapan kematian, menjadikan jumlah kumulatif setakat ini 418,861 dan angka korban kepada 141.

Sementara itu, Pakistan pada Rabu mengumumkan kelonggaran sekatan COVID-19, susulan penurunan kes jangkitan di seluruh negara, lapor Agensi Anadolu.

Menteri Perancangan Persekutuan Asad Umar, yang mengetuai strategi antivirus Pakistan berkata negara kini "kembali normal".

"Kita perlu beransur-ansur kembali kepada kehidupan biasa, kerana wabak itu akan berterusan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan," katanya.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Kira-kira 70 peratus penduduk Pakistan telah lengkap dua dos vaksin manakala 87 peratus sekurang-kurangnya menerima satu dos.

Sebanyak 493 kes jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan melebihi 1.52 juta, manakala lebih 30,000 orang maut akibat virus itu.

-- BERNAMA