ANKARA: New Zealand pada Selasa mengumumkan negara itu akan menghantar pasukan pertahanan enam anggota ke Asia Barat bagi melindungi keselamatan maritim di Laut Merah.

Dalam satu kenyataan bersama Menteri Luar New Zealand Winston Peters dan Menteri Pertahanan Judith Collins, Perdana Menteri Christopher Luxon bagaimanapun berkata tenteranya tidak akan memasuki Yaman, lapor Agensi Anadolu.

Luxon berkata pasukan pertahanan negara itu akan "menyumbang kepada pertahanan diri kapal-kapal secara kolektif di Asia Barat, mengikut undang-undang antarabangsa, dari ibu pejabat operasi di rantau ini dan di tempat lain."

Penempatan itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024.

Keadaan di Laut Merah semakin tegang di tengah-tengah serangan Houthi ke atas kapal komersial yang disyaki mempunyai kaitan dengan Israel.

Houthi berkata serangan mereka bertujuan untuk menekan Israel supaya menghentikan serangan mautnya di Semenanjung Gaza, yang telah membunuh lebih 25,295 orang sejak 7 Okt.

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat dan United Kingdom melancarkan serangan udara terhadap sasaran Houthi di Yaman sejak beberapa hari kebelakangan ini, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai inflasi dan gangguan rantaian bekalan.

Laut Merah merupakan antara laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api. Ia digunakan untuk transit antara Terusan Suez Mesir dan Teluk Aden, membolehkan kapal mengelak laluan yang lebih jauh dan mahal merentasi pantai selatan Afrika.

-- BERNAMA