KUALA LUMPUR:Keputusan Pilihan Raya Amerika Syarikat (AS) tidak akan diumumkan sehari selepas pilihan raya seperti sebelum ini.

Sebaliknya, Pengarah Eksekutif Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya, Prof Dr Shakila Yacob berkata, pengumuman itu akan mengambil sedikit masa memandangkan ia dilakukan dalam norma baharu.

Ekoran pandemik, katanya, rakyat AS dibenarkan melakukan undi pos dan jumlah undi dijangka meningkat berbanding pilihan raya sebelum ini.

"Selain itu, persaingan sengit antara kedua-dua calon presiden juga akan menyebabkan lebih banyak rakyat AS keluar mengundi," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Shakila berkata, hasil perolehan undi elektorat dari enam negeri di AS pada pilihan raya itu bakal menentukan siapakah yang akan dipilih sebagai Presiden AS.

Enam negeri itu katanya, adalah Arizona, Florida, Michigan, Carolina Utara, Pennsylvania dan Wisconsin.

Beliau memberitahu, pada pilihan raya lalu,  Trump hanya menang tipis di negeri-negeri itu, yang menyebabkan Presiden AS itu dan pesaingnya aktif melakukan lawatan pada saat-saat akhir.

"Kalau kita tengok, Florida sendiri mempunyai 29 undi elektorat dan ia adalah satu jumlah besar yang boleh menjadi penentu kemenangan," jelasnya.

Sementara itu, beliau berpendapat pemilihan Trump akan menyaksikan keseimbangan politik dunia tergugat ekoran dasar-dasar luar beliau yang kontroversi dan melawan arus.