KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempertimbang untuk membentuk kerjasama ketenteraan persis Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Pakar Undang-undang Antabangsa, Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Mohd Yazid Zul Kepli berkata bentuk kerjasama itu akan membolehkan tindakan dan bantuan berbentuk ketenteraan digerakkan demi mewujudkan keamanan global.

“Barat melalui NATO berani berdepan dengan Rusia. Sedangkan dunia tahu bahawa Rusia ada simpanan senjata nuklear terbesar di dunia. Ini tidak menghalang Barat daripada membantu Ukraine, yang berbeza dengan negara-negara Islam yang tidak berani membantu Palestin khususnya dari segi ketenteraan.

“Sudah tiba masanya untuk negara Islam mempertimbangkan kerjasama ketenteraan yang lebih jitu untuk menjamin keamanan global. Ada kekuatan dalam perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Jelasnya, OIC ketika ini bukan sebuah pakatan ketenteraan. Ini merupakan antara faktor yang menyebabkan tidak ada sebarang tindakan drastik yang boleh dilaksanakan oleh pertubuhan berkenaan.

Pada masa sama Mohd Yazid berkata meskipun OIC tidak mampu berfungsi dengan berkesan untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza, beliau memperakui bahawa pertembungan yang berlaku ketika ini adalah lebih kompleks.

“Isu sebenar disini bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tetapi keengganan Israel untuk mencari penyelesaian damai dalam isu Palestin. Israel tamak dan mahu keseluruhan tanah Palestin serta enggan berkompromi,” ujarnya.