KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu lebih proaktif, dinamik dan tegas dalam menggesa pertubuhan utama dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bersama-sama menyelesaikan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin ketika ini.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Ahmad Masrizal Muhammad menjelaskan, OIC juga perlu berupaya berdepan dengan PBB serta negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, negara-negara di Eropah dan seumpamanya dalam membawa aspirasi kebajikan umat Islam sejagat terutamanya Palestin.

"PBB sebagai pihak berkecuali dan berautoriti wajar melakukan intervensi dan menyelamatkan bumi Palestin daripada sebarang tindakan kekejaman Israel.

"Enam cadangan yang telah dikemukakan kerajaan Malaysia kepada OIC adalah cukup bernas dan konstruktif. Sesungguhnya, cadangan oleh kerajaan Malaysia merupakan satu bentuk gesaan serius yang tidak boleh dipandang ringan oleh OIC.

"Ini kerana dalam mendepani kemelut isu dua negara berkenaan, negara-negara Islam di seluruh dunia amat bergantung harap kepada keberkesanan peranan oleh OIC," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: PBB gesa keganasan ke atas Gaza dihentikan segera

BACA: 
Kapasiti fasiliti kesihatan di Gaza kritikal, penduduk Palestin perlukan bantuan - Viva Palestina

Terdahulu, Menteri Luar Palestin, Riad Al-Malki menggesa Majlis Keselamatan PBB mengambil langkah segera dalam menghentikan serangan Israel ke Gaza.

Ia disuarakan dalam satu mesyuarat PBB secara maya selepas serangan terbaharu Israel yang meruntuhkan tiga bangunan dan mengorbankan 42 mangsa.

Dalam pada itu kata Ahmad Masrizal, cadangan yang diberi adalah gabung jalin antara dua pendekatan iaitu politik dan rundingan diplomasi.

"Saya yakin jika pendekatan ini dapat dilaksanakan dan didokong oleh masyarakat antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar Barat yang menjadi Ahli Tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, ketegangan antara dua negara ini pasti akan dapat diselesaikan.

"Sesungguhnya, Palestin juga mempunyai hak untuk hidup dengan aman dan tenteram seperti bangsa-bangsa lain di dunia ini sebagaimana terkandung di dalam artikel ke 3 (Human Rights) Mesyuarat United Nation General Assembly (UNGA) di Paris pada 1948," tegasnya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam kenyataan pada Ahad meminta agar keganasan di Gaza dihentikan.

Katanya, PBB juga sedang berhubung dengan semua pihak secara aktif ke arah mencapai gencatan senjata segera.

Guterres turut menyifatkan keganasan yang berlaku di wilayah berkenaan sebagai ‘sangat mengerikan’.