BERLIN: Operasi di lima lapangan terbang Jerman terjejas teruk pada Rabu akibat kakitangannya melancarkan mogok, menjejaskan lebih 100,000 penumpang di Frankfurt am Main, Munich, Hamburg, Berlin dan Dusseldorf, lapor Xinhua.

Di lapangan terbang Frankfurt, sehingga 90 peratus daripada 600 jadual ketibaan dan pelepasan telah dibatalkan.

Walaupun lapangan terbang Munich dan Dusseldorf kurang terjejas, tiada penerbangan Lufthansa di Berlin serta di Hamburg dapat berlepas.

Ketua Pegawai Sumber Manusia Lufthansa Michael Niggemann memberitahu stesen penyiaran awam ZDF pada Rabu, bahawa mogok berkenaan mengganggu jadual penerbangan.

Cadangan terkini Lufthansa untuk kenaikan 13 peratus gaji dalam tempoh tiga tahun tawaran yang bagus tetapi syarikat itu juga berdepan keperluan pelaburan yang besar dan mempunyai tanggungjawab ekonomi, kata Niggemann.

Kakitangan Lufthansa menuntut kenaikan gaji sebanyak 12.5 peratus dalam tempoh lebih pendek iaitu setahun: sekurang-kurangnya EUR500 (US$538) sebulan.

Kakitangan Lufthansa berhimpun mengadakan mogok di Frankfurt, Jerman, 7 Feb 2024. REUTERS

Mereka juga meminta bonus pelarasan inflasi sebanyak EUR3,000 dan persekitaran pekerjaan yang lebih baik bagi kerja syif.

"Tuntutan kami adalah yang terbaik bagi mengakhiri kekurangan kakitangan dan gangguan perkhidmatan.

"Walaupun Lufthansa mencatatkan keuntungan, syarikat melabur terlalu sedikit untuk kakitangannya," kata ketua perunding untuk kesatuan Verdi, Marvin Reschinsky, pada Selasa.

-- BERNAMA