Skip to main content

Dunia

Operasi SAR mangsa nahas kereta api Sepanyol diteruskan

Jentera kren digerakkan ke lokasi bagi membantu mengalihkan gerabak kereta api, manakala polis dan tentera memeriksa serpihan nahas di lereng bukit tempat sekurang-kurangnya tiga gerabak tergelincir akibat rempuhan kuat. -Gambar AP
Jentera kren digerakkan ke lokasi bagi membantu mengalihkan gerabak kereta api, manakala polis dan tentera memeriksa serpihan nahas di lereng bukit tempat sekurang-kurangnya tiga gerabak tergelincir akibat rempuhan kuat. -Gambar AP

Advertisement

TOLEDO: Pasukan penyelamat di Sepanyol meneruskan operasi mencari mangsa yang terselamat serta mayat mangsa nahas membabitkan pelanggaran dua kereta api berkelajuan tinggi yang mengorbankan 68 orang, dalam antara bencana rel paling buruk di negara itu tahun ini.

Pekerja kecemasan dan pasukan penyelamat bersama anjing pengesan meneruskan operasi pencarian pada pagi Khamis, sehari selepas kemalangan berlaku di wilayah Toledo, tengah Sepanyol.

Jentera kren turut digerakkan ke lokasi bagi membantu mengalihkan gerabak kereta api, manakala polis dan tentera memeriksa serpihan nahas di lereng bukit tempat sekurang-kurangnya tiga gerabak tergelincir akibat rempuhan kuat.

Jurucakap kerajaan wilayah Castilla-La Mancha, Esther Padilla berkata pasukan penyelamat bertindak dengan sangat berhati-hati kerana pihak berkuasa masih belum dapat memastikan sama ada terdapat mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan gerabak.

Beliau berkata, unit anjing pengesan telah dikerahkan ke lokasi dan akan meneruskan pencarian bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah timbunan runtuhan.

Padilla memaklumkan seramai 58 mangsa masih menerima rawatan di hospital, dengan 15 daripada mereka berada dalam keadaan kritikal.

Susulan tragedi itu, tempoh berkabung kebangsaan selama tiga hari diisytiharkan di seluruh Sepanyol bermula Khamis.

Nahas pada Rabu itu berlaku selepas satu lagi kemalangan maut melibatkan syarikat rel yang sama di laluan berkenaan awal tahun ini, sekali gus menjadikannya insiden rel ketiga di Sepanyol sepanjang 2026.

Pada Januari lalu, seramai 46 orang maut apabila sebuah kereta api tergelincir daripada landasan sebelum merempuh bahagian sisi sebuah lagi kereta api yang datang dari arah bertentangan di Adamuz, selatan Sepanyol.

Menteri Pengangkutan, Óscar Puente berkata kemalangan terbaharu itu dipercayai berlaku selepas beberapa kereta api berhenti secara automatik berikutan kegagalan komputer pada sistem isyarat keselamatan LZB di laluan berkenaan.

Menurut beliau, sebuah kereta api kendalian syarikat kereta api nasional Renfe kemudiannya dibenarkan meneruskan perjalanan pada kelajuan biasa berdasarkan arahan manual pusat kawalan, walaupun sebuah kereta api kendalian Iryo sedang berhenti di hadapannya.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sánchez, yang melawat lokasi kejadian berikrar untuk melaksanakan siasatan menyeluruh serta mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan tragedi sama berulang.

Beliau berkata kerajaan perlu memperkukuh tahap keselamatan perkhidmatan kereta api bagi memulihkan keyakinan orang ramai terhadap rangkaian rel berkelajuan tinggi negara itu.

Sementara itu, kesatuan pemandu kereta api Sepanyol, SEMAF, menyatakan pihaknya enggan membuat sebarang spekulasi mengenai punca kemalangan dan memilih untuk menunggu laporan siasatan terperinci.

Bagaimanapun, SEMAF memaklumkan pemandu kereta api akan meneruskan mogok yang telah dirancang lebih awal bagi menuntut penambahbaikan aspek keselamatan rel dan perubahan struktur perkhidmatan.

Must Watch Video

Advertisement