TOKYO: Syarikat kereta api Jepun Timur menggantung semua perkhidmatan kereta api laju atau Shinkansen di laluan Joetsu dan Hokuriku di seluruh wilayah Ishikawa kerana beberapa siri gempa bumi kuat sehingga 7.6 magnitud yang telah menggegarkan pantai tengah Jepun sejak petang Isnin.

Menurut pihak berkuasa Kereta Api Jepun, pada masa ini tiada rancangan untuk menyambung semula operasi.

Salah seorang wartawan rangkaian televisyen Global China (CGTN) yang secara kebetulan berada di dalam tren Kagayaki Shinkansen ketika ia dihentikan sementara ketika menuju ke Kanazawa mendapati, kebanyakan penumpang meninggalkan kereta api dan mengambil laluan lain sebaik sahaja menerima penggera kecemasan melalui telefon bimbit.

Menurut wartawan itu, pihak berkuasa Kereta Api Jepun juga telah mengesyorkan agar penumpang mendapatkan air dan makanan dari kedai serbaneka terdekat, kerana mereka tidak dapat memberikan jangka masa tertentu bila perkhidmatan itu akan disambung semula.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) berkata gegaran besar berlaku pada jam 4.10 petang waktu tempatan (0710 gmt) pada kedalaman cetek.

Ia mencatatkan skala intensiti seismik Jepun di semenanjung Noto di wilayah Ishikawa.

JMA secara rasmi menamakannya sebagai gempa bumi Semenanjung Noto 2024.

Hempa bumi berkenaan telah mengorbankan empat orang di wilayah Ishikawa.

Gabenor Ishikawa, Hiroshi Hase telah meminta pasukan pertahanan diri menghantar anggota dalam misi bantuan bencana.

Pada awal hari itu, JMA mengeluarkan amaran tsunami untuk kawasan luas pantai barat, termasuk Ishikawa, Fukui, Niigata, Toyama, Yamagata dan wilayah lain berikutan gempa bumi kuat, termasuk amaran tsunami besar yang dikeluarkan untuk wilayah Ishikawa.

Ia adalah kali pertama amaran tsunami besar dikeluarkan sejak gempa bumi 2011 di timur laut Jepun.

Amaran tsunami utama dikeluarkan apabila ada jangkaan tsunami setinggi tiga meter bakal berlaku.