DUNIA
Pakistan akan usir 1.3 juta lagi pelarian Afghanistan bermula September

Pakistan akan mula mengusir lebih 1.3 juta pelarian Afghanistan yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mulai 1 Sept. - Gambar fail/AP
ISLAMABAD: Pakistan akan mula mengusir lebih 1.3 juta pelarian Afghanistan yang berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mulai 1 Sept, kata beberapa pegawai pada Rabu, dalam gelombang ketiga penghantaran pulang yang mencetuskan bantahan global terhadap pengusiran secara paksa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mereka yang terbabit memegang Kad Bukti Pendaftaran (PoR), dokumen yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR). Gelombang ketiga penghantaran pulang akan menyasarkan kumpulan ini, menurut beberapa pegawai.
Kerajaan Pakistan memaklumkan kepada parlimen pada Mei lalu bahawa pihaknya telah mengusir kira-kira 1.3 juta pelarian Afghanistan, berdaftar dan tidak berdaftar, dalam dua fasa pengusiran paksa yang bermula sejak September 2023.
Penghantaran pulang pelarian dari Pakistan dan negara jiran Iran telah mencetuskan krisis kemanusiaan di Afghanistan yang dilanda perang dan kini dikuasai oleh kumpulan Taliban, menurut PBB.UNHCR dan kumpulan hak asasi antarabangsa lain menggesa Pakistan mempertimbangkan semula rancangan penghantaran pulang itu, terutama bagi pelarian Afghanistan yang mungkin berisiko di bawah pemerintahan Taliban.
"Kerajaan akan meneruskan rancangan untuk mengusir semua warga Afghanistan," kata Awais Mujahid, pegawai agensi Pakistan yang mengurus pelarian.
Islamabad berkata pelarian Afghanistan terlibat dalam jenayah dan menjadi beban kepada ekonomi negara yang telah lama terjejas akibat konflik bersenjata, ketidaktentuan politik, tadbir urus lemah dan bencana berkaitan perubahan iklim.
Daripada jumlah 1.3 juta pelarian itu, lebih separuh menetap di wilayah barat laut Khyber-Pakhtunkhwa dan suku lagi di wilayah Balochistan - kedua-duanya bersempadan dengan Afghanistan.
Sejak empat dekad lalu, jutaan warga Afghanistan menyeberang masuk ke Pakistan sebagai pelarian, bermula dengan pencerobohan Soviet pada 1979 dan kemudiannya pada 2021 apabila Kabul ditawan semula oleh Taliban.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami