Skip to main content

Sukan

UFC Freedom 250: Gaethje tumbangkan Topuria, muncul juara 'undisputed' lightweight

Justin Gaethje leaves after his win against Ilia Topuria in their lightweight championship bout at UFC Freedom 250 at the White House in Washington, D.C., U.S., June 15, 2026. REUTERS/Jonathan Ernst
Justin Gaethje akhirnya merealisasikan impiannya untuk bergelar juara 'undisputed' lightweight UFC selepas menewaskan Ilia Topuria dalam acara utama UFC Freedom 250 yang berlangsung di pekarangan Rumah Putih, pada Isnin. - Foto REUTERS/Jonathan Ernst

JUSTIN Gaethje akhirnya merealisasikan impiannya untuk bergelar juara 'undisputed' lightweight UFC selepas menewaskan Ilia Topuria dalam acara utama UFC Freedom 250 yang berlangsung di pekarangan Rumah Putih, pada Isnin.

Kemenangan itu melengkapkan perjalanan panjang dan berliku buat petarung berusia 37 tahun dari Amerika Syarikat itu, yang sebelum ini beberapa kali terlepas peluang untuk menawan gelaran penuh UFC walaupun dikenali sebagai antara petarung paling menghiburkan dalam sejarah organisasi tersebut.

Pertarungan bersejarah itu menyaksikan Gaethje, yang memegang gelaran interim lightweight, bertemu juara lightweight dan bekas juara featherweight UFC, Topuria, dalam aksi penyatuan gelaran.

Topuria memasuki gelanggang dengan rekod sempurna 17 kemenangan tanpa kalah serta status antara bintang terbesar UFC ketika ini.

Gaethje membuka tirai aksi dengan baik apabila beberapa jab dan 'overhand' kanan mengenai tepat pada sasaran, menyebabkan wajah Topuria terluka, meskipun juara itu terus mara melancarkan serangan balas.

Topuria kemudian memperlihatkan mengapa beliau dianggap antara petarung paling berbahaya UFC apabila serangan ke bahagian badan berjaya menggugat Gaethje dan menjatuhkannya, namun gagal mencari penyudah.

Ketika ramai menjangkakan momentum akan terus memihak kepada juara itu, Gaethje menghasilkan kebangkitan dramatik apabila menjatuhkan Topuria dengan pukulan kanan padu sebelum menghujani lawannya dengan serangan demi serangan yang menyebabkan wajah petarung Sepanyol-Georgia itu berlumuran darah.

Topuria cuba mengubah nasibnya dengan mendapatkan takedown dan posisi dominan di atas kanvas Octagon, namun Gaethje berjaya melepaskan diri sebelum kembali menguasai pertarungan sehingga tamat pusingan tersebut.

Namun, malam itu akhirnya menjadi milik Gaethje apabila Topuria tidak meneruskan pertarungan selepas tamat pusingan keempat, sekali gus menyaksikan petarung veteran itu dinobatkan sebagai juara lightweight UFC yang baharu.

Sebelum pertarungan ini, Gaethje terlebih dahulu merangkul gelaran interim lightweight selepas menewaskan Paddy Pimblett di UFC 324 pada Januari lalu.

Beliau turut mencatat kemenangan ke atas Rafael Fiziev pada tahun lalu, sekali gus membuktikan dirinya masih relevan dalam kelompok elit divisyen tersebut.

Kejayaan terbaru itu turut melengkapkan penebusan buat Gaethje yang sebelum ini pernah tewas dalam pertarungan kejuaraan menentang Khabib Nurmagomedov dan Charles Oliveira.

Kini, selepas bertahun-tahun menjadi pencabar utama, beliau akhirnya berdiri di puncak divisyen lightweight UFC sebagai juara tidak dipertikai (undisputed).

Kemenangan terbaharu ini turut menyaksikan Gaethje melebarkan rekod professionalnya kepada 27-5.

Sementara itu, dalam acara kedua utama, Ciryl Gane menewaskan bekas juara dua divisyen, Alex Pereira, untuk merangkul gelaran interim heavyweight UFC.

Pertarungan kejuaraan interim itu berlangsung sengit apabila kedua-dua petarung saling bertukar serangan sepanjang lima pusingan, namun Gane dilihat lebih konsisten dari segi pergerakan dan jumlah pukulan yang dilepaskan, sebelum diumumkan sebagai pemenang menerusi keputusan juri.

Kemenangan itu sekali lagi meletakkan nama petarung Perancis tersebut dalam perebutan gelaran heavyweight penuh UFC selepas beberapa tahun kekal sebagai antara pencabar utama divisyen berkenaan.

Bagi Pereira pula, kekalahan itu menyaksikan impiannya untuk mencipta sejarah sebagai petarung pertama UFC yang menjuarai tiga divisyen berbeza tidak kesampaian.
 

Must Watch Video

Advertisement