Skip to main content

Dunia

Pakistan, Arab Saudi, Turkiye tandatangani perjanjian perkukuh pertahanan kolektif

Turkish President Tayyip Erdogan, Saudi Crown Prince Mohammed bin Salman and Pakistan's Prime Minister Shehbaz Sharif chat after signing a joint defense agreement in Mecca, Saudi Arabia, August 7, 2026. Murat Cetinmuhurdar/Turkish Presidential Press Office/Handout via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES.
Dari kiri Presiden Recep Tayyip Erdogan, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Shehbaz Sharif bertemu di Istana Al Safa di Makkah, pada Jumaat. - Gambar Reuters
Advertisement

HYDERABAD: Pemimpin Pakistan, Arab Saudi dan Turkiye pada Jumaat menandatangani satu perjanjian bagi memperkukuh pertahanan kolektif terhadap sebarang bentuk pencerobohan.

Perjanjian Pertahanan Bersama itu ditandatangani Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan selepas sidang kemuncak tiga hala di Istana Al Safa di Makkah.

"Perjanjian ini bertujuan mengukuhkan keupayaan pencegahan kolektif terhadap sebarang bentuk pencerobohan dan menetapkan bahawa sebarang serangan bersenjata terhadap mana-mana satu daripada tiga negara itu akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya," menurut kenyataan bersama berkenaan.

"Ia seterusnya memperuntukkan peningkatan dalam semua aspek kerjasama pertahanan antara ketiga-tiga negara berkenaan," menurut kenyataan itu lagi.

Pakistan, satu daripada sembilan negara di dunia yang memiliki senjata nuklear, sejak sekian lama menikmati hubungan pertahanan yang rapat dengan Turkiye dan Arab Saudi.

Menurut kenyataan bersama itu, perjanjian tiga pihak yang dimeterai di Makkah mencerminkan "komitmen bersama untuk terus mengukuhkan keselamatan kolektif serta menggalakkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini dan di luar rantau, demi masa depan yang selamat dan makmur."

Pakistan dan Arab Saudi menandatangani perjanjian pertahanan pada September tahun lepas yang mewajibkan kedua-dua negara saling membantu sekiranya berlaku pencerobohan dari luar.

Sementara itu, Timbalan Menteri Diplomasi Awam Arab Saudi, Rayed Krimly menerusi hantaran di platform X berkata, perjanjian itu membolehkan ketiga-tiga negara "membangunkan keupayaan pertahanan bersama, mengukuhkan pencegahan strategik, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta terus membangun dan mengintegrasikan keupayaan pertahanan masing-masing bagi menangani secara bersama sebarang ancaman terhadap keselamatan dan keamanan mereka."

Beliau berkata, perjanjian itu tidak mengancam keselamatan mana-mana negara di rantau berkenaan dan tidak mewakili peningkatan ketegangan antara mana-mana dua negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement