DUNIA
Pakistan, Bangladesh bincang kerjasama serantau, tekad kukuhkan hubungan
NEW DELHI: Pakistan dan Bangladesh membincangkan usaha memperkukuh kerjasama serantau serta komited membina hubungan dua hala yang lebih erat semasa lawatan bersejarah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar ke Dhaka.
Pada Ahad, Dar mengadakan pertemuan dengan Ketua Penasihat Bangladesh, Muhammad Yunus sebelum mengakhiri lawatan dua hari itu.
Pakistan dan Bangladesh mempunyai kepentingan bersama dalam menghidupkan semula Persatuan Kerjasama Serantau Asia Selatan (SAARC), kata Yunus, menurut laporan agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha (BSS).
"Setiap kali Perdana Menteri (Shehbaz) Sharif dan saya bertemu, kami berbincang mengenai SAARC. Visi kami sehaluan dan SAARC kekal sebagai keutamaan bagi kedua-dua pihak."Saya menyokong SAARC dan saya melihat hubungan kami dengan Pakistan serta negara anggota SAARC lain sebagai antara keutamaan tertinggi," kata Yunus.
Badan serantau lapan anggota itu tidak pernah mengadakan sidang kemuncak sejak pertemuan di Kathmandu pada 2014.
Lawatan Timbalan Perdana Menteri Pakistan itu dianggap membuka peluang besar untuk membawa hubungan Islamabad-Dhaka ke tahap baharu.
Dar turut mengadakan perbincangan dengan Penasihat Hal Ehwal Luar, Touhid Hossain dan bertemu pegawai kanan Bangladesh lain, golongan intelektual, ahli perniagaan serta tokoh politik utama.
"Bangladesh dan Pakistan menegaskan semula komitmen untuk memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara.
"Mesyuarat dua hala berlangsung dalam suasana mesra dan penuh muhibah, mencerminkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara serta hasrat bersama untuk meningkatkan penglibatan dan kerjasama," menurut kenyataan Kementerian Luar Bangladesh.
Kedua-dua pihak turut bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertanian, pendidikan, kesihatan, tenaga, pengangkutan dan pelancongan.
Lawatan Dar adalah yang pertama kali seumpamanya oleh seorang Menteri Luar Pakistan ke Dhaka dalam tempoh 13 tahun.
"Saya yakin lawatan ini akan memberi momentum baharu kepada hubungan Pakistan-Bangladesh, dengan pertukaran yang lebih kerap dan kerjasama yang dipertingkat dalam semua sektor," katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.
Pakistan turut mengumumkan tawaran 500 biasiswa kepada pelajar Bangladesh untuk melanjutkan pengajian peringkat tinggi di Pakistan dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan satu perempat daripadanya khusus dalam bidang perubatan.
Bangladesh dan Pakistan juga menandatangani perjanjian memansuhkan keperluan visa bagi pemegang pasport diplomatik dan rasmi.
Mereka juga bersetuju mempromosi pertukaran budaya dan kerjasama antara akademi perkhidmatan luar, agensi berita serta badan pemikir kedua-dua negara.
Sebuah kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan bagi menggalakkan hubungan perdagangan dan ekonomi.
Perkhidmatan udara terus antara Bangladesh dan Pakistan dijangka dilancarkan tidak lama lagi apabila syarikat penerbangan Pakistan, Fly Jinnah merancang mengendalikan laluan Dhaka-Karachi.
"Menjelang Oktober, kami berharap Fly Jinnah akan memulakan penerbangan terus antara kedua-dua negara.
"PIA (Pakistan International Airlines) juga dijangka memulakan penerbangan terus ke Dhaka selepas syarikat itu diswastakan," kata Dar seperti dipetik laporan BSS.
Perbincangan Bangladesh-Pakistan juga tertumpu kepada isu-isu utama antarabangsa.
Bangladesh meminta sokongan berterusan Pakistan dalam usaha memastikan kepulangan pelarian Rohingya ke Myanmar secara awal, selamat, sukarela dan bermaruah.
Lebih 1.3 juta etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh untuk menghindari kempen pembunuhan beramai-ramai dan penindasan di Myanmar.
Bangladesh dan Pakistan turut mengecam genosid dan pencabulan hak asasi manusia yang sedang dilakukan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami