PUTRAJAYA: Bekas pembantu Datuk Seri Rafizi Ramli, Chai Jin Shern tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini bagi menyambung keterangan berhubung siasatan membabitkan firma semikonduktor terkemuka dunia dari United Kingdom, Arm Holdings Plc.
Beliau dilihat memasuki pekarangan pejabat itu sekitar pukul 9.45 pagi menaiki Proton Persona.
Advertisement
Proses rakaman keterangan Jin Sher atau James Chai itu dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Pada Selasa, keterangan James Chai direkod kira-kira lapan jam sehingga pukul 6.30 petang.
Chai yang juga penganalisis politik dan kini menetap di London dicari SPRM sejak Mac lalu.
Pada 1 April, SPRM memberi tempoh dua minggu kepada James Chai untuk tampil membantu siasatan kes membabitkan firma semikonduktor itu dengan SPRM bersedia menanggung kos penerbangan untuk pulang ke Malaysia.
Pada 16 Februari, SPRM membuka kertas siasatan berhubung satu perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Arm Holdings dianggar bernilai RM1.1 bilion.
Menurut sumber, siasatan dijalankan susulan aduan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian itu dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberi kesan kewangan kepada kerajaan.
Selain itu, siasatan turut menjurus kepada unsur konflik kepentingan apabila beberapa individu dikatakan telah diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing tersebut selepas berhenti daripada sebuah kementerian.