ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shahbaz Sharif mengucapkan terima kasih kepada kerajaan China yang telah menghantar kumpulan pakar pencegahan banjir ke negara itu.

Beliau berkata kerajaan dan rakyat China telah memberikan bantuan kecemasan kepada Pakistan yang dilanda banjir teruk tahun ini.

"China amat berpengalaman dalam pencegahan banjir dan kumpulan pakar dari China diharap dapat memberikan cadangan kepada Pakistan dalam penyusunan rancangan pencegahan banjir untuk jangka sederhana dan panjang," katanya ketika menerima kunjungan kumpulan pakar pencegahan banjir itu di sini pada Rabu.

Duta China ke Pakistan, Nong Rong yang turut hadir ketika kunjungan itu berkata China akan terus menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Pakistan dalam menangani banjir.

Ketua kumpulan pakar China, Xu Xianbiao berkata sumbangan barang bantuan dan dana diikuti penghantaran kumpulan pakar dari China bukan sahaja mengeratkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam isu berkaitan pengurangan bencana malah memperlihatkan konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Menurut maklumat pihak berkuasa Pakistan, hujan lebat yang melanda negara itu sejak pertengahan Jun mengakibatkan bencana banjir yang menjejaskan lebih 33 juta penduduk tempatan.

Pasukan pakar itu tiba di Pakistan pada 11 Oktober dan telah melawat ke kawasan bencana selain memberikan cadangan mengenai kaedah mengatasi banjir.

-- BERNAMA