Skip to main content

Malaysia

Malaysia perlu bangunkan keupayaan teknologi sendiri, bukan sekadar jadi pengguna - PM Anwar

Anwar merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Anwar merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di ibu negara hari ini. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan keperluan Malaysia membangunkan keupayaan perindustrian sendiri dan tidak hanya menjadi pengguna teknologi.
  • Beliau menghargai usaha Kementerian Kerja Raya dan CIDB dalam meneroka teknologi percetakan konkrit 3D sebagai langkah penting ke arah inovasi tempatan.
  • Anwar menekankan kerjasama industri harus menyediakan ruang pengujian, latihan serta peluang kepada PKS dalam penerimaan teknologi baharu sektor pembinaan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu beralih daripada menjadi pengguna dan pengimport teknologi secara pasif kepada membangunkan keupayaan perindustrian sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pemain industri tempatan, penyelidik dan agensi kerajaan mesti bekerjasama untuk mengadaptasi, menghasilkan dan akhirnya mengeksport inovasi teknologi yang memenuhi keperluan khusus negara.

"Kerjasama berkesan seharusnya melangkaui perbincangan dan mewujudkan peluang untuk pembelajaran, pengujian, pembangunan keupayaan tempatan dan memperluas penerimaan pasaran.

Advertisement

"Sehubungan dengan itu, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha Kementerian (Kerja Raya) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang meneroka teknologi percetakan konkrit 3D. Inisiatif ini amat penting kerana menunjukkan betapa Malaysia dapat bergerak melangkaui penggunaan teknologi ke arah membangunkan keupayaan teknologinya sendiri," kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Advertisement

Perhimpunan utama industri itu dianjurkan oleh CIDB dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan pengurus acara Qube.

Yang turut hadir ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Azman Ibrahim.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu menunjukkan bahawa negara dapat beralih daripada sekadar menerima pakai teknologi kepada membangunkan keupayaan teknologi domestiknya sendiri.

Anwar turut menegaskan bahawa kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), tidak harus dipinggirkan ketika sektor itu menerima pakai kaedah pembinaan modular, automasi, robotik dan reka bentuk digital.

Beliau berkata kerjasama industri yang berkesan perlu melangkaui perbincangan dengan menyediakan ruang sebenar untuk pengujian, latihan dan memperluas penerimaan teknologi dalam pasaran tempatan.

"Pada akhirnya, kejayaan transformasi ini tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah teknologi yang diperkenalkan atau projek yang disiapkan, sebaliknya melalui keupayaan yang kita bangunkan dan peluang yang kita wujudkan untuk perniagaan tempatan," kata beliau.

Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026 yang dianjurkan selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, turut menampilkan BuildXPO Malaysia sebagai pameran perdagangan rasmi dan diadakan serentak dengan Glasstech Asia dan Fenestration Asia.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement