Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan projek mega dan pembinaan mesti mengutamakan kesejahteraan awam serta keperluan masyarakat untuk mengelak rasa tidak puas hati.
- Beliau menekankan pentingnya pembangunan bandar berasaskan acuan tempatan, bukan meniru model asing, serta penyediaan rumah mampu milik sebagai keutamaan negara.
- Anwar turut menyorot keperluan penggunaan teknologi, kawalan kos, pemeliharaan alam sekitar dan penglibatan aktif industri dalam pembangunan teknologi modular pembinaan.
KUALA LUMPUR: Projek mega dan bangunan perlu mengambil kira kesejahteraan awam serta keperluan masyarakat kerana kegagalan berbuat demikian boleh mencetuskan kekecewaan dan rasa tidak puas hati, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata transformasi industri pembinaan perlu menghasilkan manfaat nyata kepada masyarakat, termasuk penyediaan rumah mampu milik, bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan seiring dengan usaha meningkatkan kesejahteraan majoriti penduduk.
“Fokus kita ialah pembangunan, dan itu memang wajar. Fokus kita juga ialah pertumbuhan dan pembinaan, yang sememangnya praktikal. Namun, jika kita tidak memahami keperluan masyarakat, kita hanya akan mengundang rasa tidak puas hati,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di sini hari ini.
Anwar melahirkan kebimbangan terhadap projek mega dan bangunan berskala besar yang tidak memberi manfaat kepada kesejahteraan majoriti masyarakat, sambil menyentuh rasa kecewa yang timbul di banyak bandar apabila keperluan masyarakat sebahagian besarnya diketepikan.
Merujuk kepada hasil pemikiran tokoh ekonomi pembangunan terkenal seperti Samir Amin dari Mesir dan Malek Bennabi dari Algeria, beliau berkata konsep penerapan acuan tempatan penting bagi mengelakkan peniruan secara membuta tuli terhadap model pembangunan bandar asing.
“Ya, kita perlu mempelajari dan menerima pakai amalan terbaik dari Barat dan Timur, namun kita mesti sentiasa memastikan pendekatan itu bersesuaian dengan keperluan domestik dan negara sendiri. Itulah sebabnya kita gagal membangunkan banyak bandar.
“Pembangunan bandar moden bukan hanya melibatkan industri pembinaan, malah turut mencerminkan aspek perancangan dan tadbir urus secara menyeluruh. Oleh itu, mencontohi London atau New York dalam pembangunan Kuala Lumpur adalah tidak munasabah kerana perbezaan iklim, persekitaran dan keutamaan,” katanya.
Beliau turut memuji Kementerian Kerja Raya kerana mengambil kira keperluan berkenaan dalam merangka agenda pertumbuhannya, sambil menegaskan bahawa aspek itu merupakan sebahagian daripada kerangka ekonomi dan bukan hanya berkaitan kementerian yang mengawasi alam sekitar atau ekonomi.
Anwar berkata Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang 2030, sebagai sebahagian daripada aspirasi lebih luas negara untuk menyediakan sejuta rumah dalam tempoh 2026 hingga 2035.
“Teknologi perlu membantu kita menyediakan rumah ini dengan lebih cekap tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kualiti dan keselesaan untuk didiami.
“Saya juga ingin menambah bahawa kos perlu diberi perhatian,” katanya sambil menegaskan bahawa daya saing perlu menjadi pertimbangan utama dalam proses tender.
Mengenai pembinaan modular, Anwar berkata pelan hala tuju sektor itu perlu disokong oleh keupayaan domestik dan industri pembuatan yang lebih kukuh, pelaburan, permintaan pasaran, tenaga kerja berkemahiran serta persekitaran dasar dan kawal selia yang kondusif.
Beliau berkata pendekatan itu perlu turut mengambil kira aspek kualiti bahan binaan, reka bentuk fasad bangunan yang mengekalkan keindahan dengan sentuhan tempatan serta pemeliharaan alam sekitar.
Jika tidak, katanya, industri pembinaan berisiko kembali menghasilkan pembangunan yang dipenuhi bangunan konkrit sehingga mengabaikan kualiti alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.
Anwar turut menekankan keperluan membangunkan ekosistem yang membolehkan syarikat bukan sekadar menjadi pengguna teknologi modular, tetapi turut terlibat secara aktif dalam pembangunan, pengeluaran dan pengkomersialannya.
Beliau berkata sektor pembinaan perlu mengambil kira aspek teknologi, kos, pemeliharaan alam sekitar dan keindahan, bukannya hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan.
-- BERNAMA