DUNIA
Pakistan kecam keganasan Israel pada mesyuarat di Doha

Dar berkata Israel berfikiran liar dengan mengabaikan setiap prinsip undang-undang dan norma antarabangsa. - Foto REUTERS
NEW DELHI: Pakistan mengecam Israel sebagai "penceroboh tanpa segan silu" yang mahu mencapai objektifnya dengan meruntuhkan aturan antarabangsa, ketika pemimpin tertinggi negara Islam berhimpun di Doha bagi membincangkan langkah menghadapi serangan Israel terbaru terhadap Qatar.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar berucap pada mesyuarat persediaan peringkat menteri menjelang sidang kemuncak tergempar kepimpinan Arab-Islam pada Ahad.
Sidang Kemuncak itu dijadual berlangsung Isnin.
Dar berkata Israel berfikiran liar dengan mengabaikan setiap prinsip undang-undang dan norma antarabangsa."Tindakan Israel jelas menunjukkan ia adalah penceroboh yang tanpa segan silu, bertekad mencapai tujuan jahatnya tanpa peduli jika usaha itu meruntuhkan keseluruhan aturan antarabangsa.
"Tiada negara selamat daripada entiti tidak waras yang menolak segala prinsip tingkah laku bertamadun," katanya.
Mesyuarat itu turut membincangkan draf resolusi yang akan diterima pakai oleh pemimpin Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurut Dar, kekerapan mesyuarat OIC mengenai Israel membuktikan ancaman semakin meningkat akibat tindakan agresif rejim Yahudi, yang berterusan melancarkan perang genosid terhadap rakyat Palestin.
OIC sebelum ini mengadakan mesyuarat tergempar di Jeddah pada Ogos bagi membincangkan krisis kemanusiaan yang semakin tenat di Gaza.
"Hakikat kita terpaksa sering berkumpul sudah cukup menunjukkan bagaimana Israel menjadi duri berterusan serta ancaman kepada keamanan dan keselamatan dunia," kata Dar.
Para menteri yang menghadiri mesyuarat di Doha menyeru tindakan global termasuk Majlis Keselamatan PBB bagi menghentikan pembunuhan terhadap orang awam, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
"Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sepanjang dua tahun lalu membuktikan sejauh mana mereka sanggup melampaui batas dalam melaksanakan agenda jahat.
"Tiada laungan bantahan, penelitian mahupun gesaan akauntabiliti global yang mampu mengekang kebiadaban Israel di Gaza," katanya.
Beliau juga berkata, tindakan pencerobohan Israel di negara serantau tanpa rasa bersalah atau bimbang terhadap liabiliti mencetuskan trend berbahaya yang mesti dihentikan segera.
"Dunia Arab-Islam perlu bersatu menghadapi permusuhan terang-terangan Israel di rantau ini," tegasnya.
Menteri Luar Maldives, Abdulla Khaleel pula berkata para menteri membincangkan langkah susulan berhubung serangan udara Israel ke atas Qatar pada 9 Sept.
"Pelanggaran berterusan dan sikap tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa oleh Israel tidak boleh dibiarkan.
"Tindakan segera dan tegas amat diperlukan demi memastikan keamanan serta kestabilan rantau ini," katanya menerusi hantaran di platform X.
Antara peserta mesyuarat ialah Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan, Menteri Luar Mesir Badr Abdelatty, Menteri Luar Iraq Fuad Hussein dan Menteri Luar Iran Abbas Araghchi, yang turut mengadakan mesyuarat dua hala di luar sesi rasmi.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman Al Thani, Araghchi menekankan keperluan langkah kolektif yang berkesan menentang perang Israel, menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza serta mendakwa kepimpinan rejim penjajah itu.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami