DUNIA
Palestin desak UNESCO lindungi tapak arkeologi di Tebing Barat

Gesaan kepada UNESCO itu dibuat susulan pengumuman pihak berkuasa pendudukan Israel mengenai pewartaan 63 tapak di Tebing Barat sebagai tapak warisan Israel.
RAMALLAH: Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin menggesa Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) melaksanakan tanggungjawabnya dalam melindungi tapak arkeologi Palestin daripada bahaya peyahudian dan aneksasi.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kementerian berkenaan susulan pengumuman pihak berkuasa pendudukan Israel mengenai pewartaan 63 tapak di Tebing Barat sebagai tapak warisan Israel.
Kementerian itu menegaskan pengumuman berkenaan merupakan pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva serta perjanjian yang telah ditandatangani.
Menurut kenyataan itu, pengelasan tapak tersebut adalah sebahagian daripada rancangan penjajahan untuk menguasai 2,400 tapak di seluruh Tebing Barat dengan kuasa pendudukan, dalam kerangka ideologi penjajahan yang digerakkan kerajaan pendudukan bagi memperhebat jenayah aneksasi beransur-ansur, mengubah rupa bentuk dan identiti Tebing Barat, mengenakan realiti baharu di lapangan, serta menukar geografi dan demografi kawasan berkenaan.Kementerian itu menyatakan pengelasan tapak tersebut antara tindakan perompakan dan pencurian terbesar tanah Palestin untuk tujuan penjajahan semata-mata, dengan alasan rapuh serta dakwaan tidak berasas yang tidak disokong bukti sejarah, sambil menyifatkannya sebagai jenayah terbuka memalsukan sejarah dan realiti semasa.
Kementerian itu menambah bahawa langkah itu juga merupakan satu lagi bentuk penjajahan, khususnya penjajahan penempatan, kali ini menyasarkan tamadun rakyat Palestin serta tapak arkeologi dan sejarah mereka.
Kementerian itu menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera untuk mendedahkan jenayah itu dan menentang naratif Israel yang digerakkan bagi memperhebat kehadiran serta kawalan penempatan ke atas tapak-tapak berkenaan, kebanyakannya terletak di tengah-tengah bandar dan pekan Palestin.
Kementerian itu turut menegaskan rancangan itu mengancam kemungkinan merealisasikan penubuhan Negara Palestin di lapangan melalui proses peyahudian tapak-tapak itu dan penghapusan identiti mereka.
Oleh itu, pengiktirafan antarabangsa segera terhadap Negara Palestin akan menyumbang kepada usaha mengekalkan serta melaksanakan penyelesaian dua negara, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Dapatkan berita terkini di sini


Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami