PUTRAJAYA: Pengemukaan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa untuk membuat rayuan terhadap taksiran cukai yang dibangkitkan di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 kini boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi perkhidmatan e-Rayuan Taksiran di portal MyTax.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), bagaimanapun memaklumkan kemudahan itu tidak meliputi kes yang melibatkan cukai keuntungan modal, cukai pegangan dan taksiran yang dibangkitkan hasil aktiviti siasatan.
Melalui inisiatif itu, urusan pengemukaan rayuan taksiran yang sebelum ini melibatkan dokumen fizikal dan proses manual kini boleh dilaksanakan secara dalam talian, tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN.
"Antara pengalaman baharu yang bakal diperoleh pembayar cukai termasuk keupayaan untuk mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa membuat rayuan di mana-mana sahaja dan secara masa nyata.
"Mereka boleh menyemak status rayuan taksiran/permohonan lanjutan masa sepanjang proses pengendalian dan menerima notifikasi status kes, surat pengesahan penerimaan atau penolakan dan notis kelulusan lanjutan masa berkaitan secara dalam talian," maklum LHDN.
Menurut LHDN, dari segi akses, pembayar cukai individu boleh mengemukakan rayuan taksiran atau permohonan lanjutan masa melalui peranan individu, manakala pengarah syarikat atau pegawai syarikat yang dilantik dan pentadbir organisasi bagi kes selain syarikat seperti koperasi, badan amanah, perkongsian liabiliti terhad (PLT) dan lain-lain boleh berbuat demikian melalui peranan pengarah syarikat atau pentadbir organisasi.
-- BERNAMA