MOSCOW: Palestin menggesa Amerika Syarikat (AS) menarik balik sekatan visa terhadap pegawai Pihak Berkuasa Palestin (PA) dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menghalang penyertaan mereka dalam sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, menurut Kementerian Luar Palestin pada Khamis, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Sebarang sekatan yang menghalang penyertaan penuh delegasi Palestin dalam mesyuarat PBB menjejaskan hak Negara Palestin dan bercanggah dengan kewajipan negara tuan rumah di bawah Perjanjian Ibu Pejabat PBB. Pihak Palestin menuntut supaya kemasukan dijamin bagi semua ahli delegasi yang ditauliahkan secara rasmi,” menurut kenyataan yang disiarkan di platform X.
Pada Rabu, Jabatan Negara AS mengumumkan bahawa pihak berkuasa negara itu telah melanjutkan sekatan terhadap kepimpinan Palestin, yang menghalang Presiden Mahmoud Abbas daripada memperoleh visa untuk menghadiri UNGA tahun lepas.
Jabatan Negara memaklumkan Kongres bahawa PLO dan PA gagal memenuhi kewajipan mereka terhadap AS, yang mendorong pihak berkuasa negara itu mengambil tindakan berkenaan.
Pengecualian hanya diberikan kepada kakitangan misi pemerhati PLO ke PBB.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI