DUYONG: Rekod perkhidmatan penyandang dan tawaran penambahbaikan setempat menjadi sandaran utama dalam persaingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong pada 14 November ini.
Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi DUN, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berdepan calon Pakatan Harapan (PH) daripada DAP, Poo Long Suan yang mahu memberi tumpuan kepada masalah setempat.
Selepas hampir lima tahun mewakili penduduk Duyong, Mohd Noor Helmy mempertaruhkan pengalaman serta rekod perkhidmatannya untuk memperoleh mandat baharu.
Bagaimanapun, beliau mengakui persaingan kali ini tidak boleh dipandang mudah, terutama apabila berdepan pencabar yang turut mempunyai pengalaman dalam pentadbiran tempatan.
"Saya tak pernah ambil mudah. Tambahan pula, DAP adalah parti yang penuh pengalaman.
"Calon yang ditawarkan ini bekas ahli majlis. Bila dia jadi ahli majlis, sebenarnya ada pengalaman dalam pentadbiran," katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Mohd Noor Helmy berkata pengalaman Poo sebagai bekas ahli majlis menjadi antara faktor yang perlu diambil kira dalam menghadapi persaingan pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Poo yang pernah berkhidmat sebagai ahli majlis mahu menggunakan pengalamannya untuk mengenal pasti dan menangani masalah penduduk Duyong.
Menurutnya, lawatan ke kawasan berkenaan mendapati masih terdapat penduduk yang memerlukan bantuan selain beberapa kemudahan infrastruktur yang perlu diberi perhatian.
"Selepas kami melawat penduduk di sini, saya perasan masih ada yang tertinggal. Kita pun tidak salahkan siapa.
"Tetapi memang kita ada jumpa penduduk yang susah, perlu bantuan. Kita juga nampak ada infrastruktur atau masalah yang masih perlu dititikberat dan diselesaikan," katanya.
Poo berpandangan usaha mendekati masyarakat secara berterusan penting bagi memahami keperluan sebenar penduduk, khususnya dalam menangani masalah harian.
Beliau turut menekankan isu seperti sistem perparitan, penyelenggaraan pokok, jalan raya, lalu lintas dan lampu jalan yang memerlukan perhatian pihak berkaitan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, Mohd Noor Helmy memenangi kerusi Duyong selepas menewaskan calon DAP, Damian Yeo Shen Li, dengan majoriti 200 undi.
Jumlah pengundi Duyong bagi pilihan raya kali ini meningkat kepada 26,528 orang berbanding 18,237 pada 2021, iaitu pertambahan 8,291 pengundi.
Pertambahan itu menjadi antara faktor yang dijangka mempengaruhi persaingan apabila kedua-dua calon berusaha mendapatkan sokongan pengundi menjelang hari pengundian pada 14 November ini.