Skip to main content

Malaysia

SPAN tingkat kesiapsiagaan hadapi El Nino, pastikan bekalan air negara mencukupi

Fokus SPAN ketika ini adalah bertindak secara proaktif bersandarkan analisis data serta penilaian risiko ke atas sistem pengagihan bekalan air di seluruh negara.
Fokus SPAN ketika ini adalah bertindak secara proaktif bersandarkan analisis data serta penilaian risiko ke atas sistem pengagihan bekalan air di seluruh negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menggerakkan langkah kesiapsiagaan awal menerusi pemantauan berterusan dan tindakan mitigasi berstruktur bagi memastikan bekalan air negara kekal terjamin berikutan fenomena El Nino yang diramal berlanjutan sehingga Januari 2027.

Pengarah Seksyen Pengurusan Wilayah Bahagian Operasi SPAN Azrul Raimee Ramli berkata fokus suruhanjaya ketika ini adalah bertindak secara proaktif bersandarkan analisis data serta penilaian risiko ke atas sistem pengagihan bekalan air di seluruh negara.

Beliau berkata langkah berkenaan bertujuan meminimumkan impak gangguan bekalan air mentah serta mengurangkan aduan daripada pengguna sekiranya berlaku kemarau berpanjangan.

Advertisement

“Pemantauan harian dibuat ke atas 49 empangan utama yang membekalkan air ke Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh negara dan setakat ini, status takungan di semua empangan adalah normal dan tiada yang berada pada paras kritikal,” katanya ketika ditemu bual menerusi aplikasi Zoom dalam Buletin Bernama bertajuk ‘Jaminan Bekalan Air Menghadapi El Nino’ hari ini.

Azrul Raimee berkata kehadiran Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa taburan hujan lebat hingga Disember ini turut dimanfaatkan sepenuhnya oleh operator air bagi memaksimumkan kadar storan empangan sebagai benteng persediaan awal.

Advertisement

Bagi memantapkan pengurusan risiko El Nino, beliau berkata SPAN telah mengarahkan semua operator bekalan air menyediakan Pelan Kesiapsiagaan Kecemasan (ERP) merangkumi langkah mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang.

Beliau berkata pelan jangka pendek merangkumi pemantauan rapi sumber air bersama badan kawal selia negeri dan pengenalpastian sumber air mentah tambahan, sementara bagi jangka sederhana pula melibatkan penjadualan semula agihan air dari kawasan mencukupi ke LRA terkesan, serta kesiapsiagaan lori tangki dan tangki statik.

“Bagi jangka panjang, tumpuan kepada projek penggantian dan pembaikan paip usang, khususnya paip jenis asbestos simen secara berskala besar bagi mengurangkan kebocoran serta meningkatkan keterjaminan bekalan air,” katanya. 

Mengenai pembaikan infrastruktur paip, beliau berkata kerja penggantian paip usang yang diberi peruntukan khas dalam belanjawan amat penting untuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhitung (NRW) di seluruh negara.

“Program penggantian dan pembaikan paip usang ini bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran akibat kebocoran, malah berupaya meningkatkan kecekapan pengagihan serta menambah simpanan bekalan air yang dirawat untuk disalurkan kepada pengguna dengan lebih stabil.

“SPAN memantau rapat pelaksanaan program pembaikan paip ini bersama operator bekalan air yang dilantik bagi memastikan projek ini berjalan lancar mengikut jadual,” katanya.

Menyentuh tahap ketahanan bekalan semasa, beliau memberi jaminan takungan empangan utama khususnya di Selangor, Perak dan Pahang berada pada paras memuaskan dan berupaya menampung keperluan antara tiga hingga enam bulan, manakala catuan atau bekalan air berjadual hanya akan dijadikan pilihan terakhir.

Dalam pada itu, Azrul Raimee berkata SPAN tidak akan berkompromi dengan isu pencemaran sumber air mentah sewaktu musim kering dan tindakan tegas di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.

Beliau turut memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemah menjelang cuaca panas dan menggalakkan penggunaan produk cekap air demi melestarikan sumber air negara.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement